Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menegaskan tiada perubahan terhadap dasar pengecualian duti
eksais atau insentif tersuai di bawah Industrial Linkage Programme (ILP) susulan kenaikan harga kereta Honda.

Berikutan itu, kenaikan harga Honda hanya melibatkan Honda Malaysia dan tidak menjejaskan keseluruhan industri
automotif tempatan.

“Adalah perlu syarikat mematuhi semakan audit dan menurut dasar serta insentif pengecualian duti/cukai yang sedia ada supaya tidak menimbulkan persoalan dan bertindak adil kepada semua syarikat yang menurut asas yang sama dan kriteria yang betul.

“Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif (ABDC) selaku pihak yang menilai dan mengesyorkan kelulusan insentif syarikat masih menggunapakai kaedah penilaian yang sama tanpa sebarang perubahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Honda untuk menaikkan harga jualan sebanyak 5% hingga 9% bagi beberapa model dan varian mulai 21 Februari lalu.

Menurut Honda kenaikan tersebut kerana syarikat telah menyemak dan meningkatkan pematuhan terhadap insentif pengecualian ke atas kenderaan keluaran pemasangan tempatan (CKD).

Justeru, kadar pengecualian duti eksais yang dinikmati syarikat Honda pada masa ini adalah wajar dan sepadan dengan tahap lokalisasi sebenar yang telah dicapai oleh syarikat.

Kementerian berkenaan menambah, kerajaan sentiasa memastikan dasar-dasar percukaian ke atas industri pengeluaran
kenderaan CKD tidak akan merencatkan perkembangan perniagaan dan meningkatkan harga pasaran kenderaan CKD.

Rakyat akan sentiasa mendapat manfaat langsung daripada insentif cukai yang dinikmati oleh pengeluar kenderaan CKD melalui harga jualan yang kompetitif serta manfaat tidak langsung melalui peluang-peluang ekonomi yang wujud, selaras dengan hasrat di bawah Dasar Automotif Nasional 2020. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Cukai CKD naik, tu psl Honda kena naikkan. Lu lg mau tipu ka? Tu pasal la ekonomi makin teruk… Lu dufuk tepi jerlah… Lu mmg layak jadi pembangkang jer sampai mati…

Comments are closed.