KUALA LUMPUR- Notis pelantikan dan alamat penyelesai interim yang berlegar di media sosial adalah berkaitan Malaysian Airline System Bhd (MAS) yang kini sudah tidak berfungsi dan beroperasi lagi, justeru, sama sekali tidak melibatkan Malaysia Airlines Bhd (MAB), jelas MAB hari ini.

“Ia merupakan penyelesaian syarikat lama iaitu MAS. MAB adalah entiti perundangan yang berasingan,” menurut jurucakap MAB kepada Bernama ketika ditanya mengenai siaran notis itu di dalam ruang iklan akhbar.

Beliau berkata, oleh yang demikian, ia sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan MAB.

Berdasarkan Seksyen 513 (1) Akta Syarikat 2016, penyelesai interim perlu menyerah simpan notis pelantikannya, alamat pejabatnya dan apa-apa perubahan alamat dengan Pendaftar dan Pegawai Penerima mengikut cara yang ditentukan Pendaftar dalam tempoh 14 hari daripada tempoh pelantikan atau perubahan alamat tersebut.

Jika gagal berbuat demikian, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM10,000, jika berterusan boleh didenda tidak melebihi RM500 sehari, sekiranya sabit kesalahan.

Sebagai sebahagian pelan pemulihan, pada 1 Sept 2015, MAB mengambil alih MAS sebagai syarikat penerbangan negara.

MAB dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan, melalui dana kekayaan negara, Khazanah Nasional Bhd, yang kini sedang mencari rakan kongsi strategik untuk syarikat penerbangan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast