Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (tengah) beramah mesra dengan Pengarah Kanan BSA, Tarun Sawney (dua kanan) serta yang lain pada Majlis Perasmian Kempen Legalize And Protect di Hotel Le Meridian, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – “Beliau mempunyai hal lain yang lebih penting,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad ketika ditanya mengapa beliau yang hadir merasmikan Kempen ‘Legalize and Protect’ Malaysia pada saat-saat akhir.

Sedangkan jika mengikut jemputan dan jadual awal, Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang sepatutnya merasmikan kempen berkenaan.

Tanpa mahu mengulas lanjut, Hasnol berkata, setiap menteri mempunyai jadual yang sangat sibuk dan mereka dibenarkan untuk mewakilkan Timbalan Menteri atau KSU Kementerian bagi menggantikan kehadiran beliau.

Difahamkan Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR perlu menghadiri mesyuarat tergempar parti tersebut hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya yang dibacakan Hasnol, Saifuddin berkata, syarikat-syarikat yang gagal mendapatkan lesen perisian yang sah secara sukarela akan dikenakan tindakan penguatkuasaan kementerian.

Katanya, penggunaan perisian cetak rompak telah melakukan pelanggaran hak cipta yang serius.

“Kepimpinan dan pengurusan kanan syarikat tidak boleh bersikap acuh tidak acuh mengenai isu ini.

“Mereka perlu memastikan perisian yang digunakan adalah berlesen kerana pihak pengurusan boleh dikenakan hukuman denda atau/dan penjara sekiranya didapati melanggar peraturan berkenaan,” katanya.

Di bawah Akta Hak Cipta 1987, mereka yang didapati bersalah menggunakan perisian cetak rompak boleh dikenakan denda antara RM2,000 dan RM20,000 untuk setiap salinan perisian cetak rompak yang ditemui.

Pihak pengurusan kanan juga mungkin berhadapan dengan hukuman penjara sehingga lima tahun. – MalaysiaGazette