Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kilang-kilang ais di negara ini perlu mematuhi standard dan syarat lesen di bawah Peraturan 394A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Di bawah peraturan itu, ais yang dihasilkan hendaklah menggunakan sumber air terawat dan menjalani proses nyahjangkitan melalui pelbagai teknologi iaitu antaranya teknologi radiasi pengionan, ultraungu dan sebagainya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan kajian dan maklumat yang diketahui setakat ini mengenai jangkitan COVID-19, pematuhan kepada standard dan syarat perlesenan sedia ada dapat memastikan ais yang dikeluarkan oleh kilang ais adalah selamat.

Menurutnya, kilang ais yang tidak mempunyai lesen tidak dapat dipastikan keberkesanan proses penyahjangkitan.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) juga sentiasa menjalankan pemantauan ke atas kilang ais yang beroperasi di negara ini bagi memastikan pengilang ais mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat 156 buah kilang ais berlesen dengan KKM di seluruh negara manakala 16 buah kilang ais masih dalam proses kelulusan lesen.

Pada tahun 2019, sebanyak 140 buah kilang ais yang beroperasi tanpa lesen telah dikenalpasti oleh KKM.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 18 buah kilang ais yang beroperasi tanpa lesen telah diambil tindakan penguatkuasaan pada tahun 2019 manakala 122 buah lagi bakal dikenakan tindakan pada tahun ini.

Pemilik kilang ais yang beroperasi tanpa lesen dari KKM boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun.

Sehubungan itu, pengguna disarankan untuk membeli ais dari kilang yang telah dilesenkan oleh KKM.

Pengguna boleh merujuk nombor lesen KKM pada pembungkusan ais, katanya. – MalaysiaGazette