Peguam, Ramkarpal Singh hadir pada perbicaraan dan keputusan permohonan jaminan kes individu dikaitkan dengan LTTE Saminathan A/l Ganesan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 29 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan lagi 10 tahanan daripada tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LLTE).

Semalam, mahkamah melepaskan dua tahanan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran dari DAP dan pemandu teksi, Balamurugan tanpa apa-apa dakwaan berkaitan kumpulan pengganas itu yang masih lagi dianggap aktif di negara ini.

Pada hari ini, antara yang dilepas dan dibebaskan termasuk ADUN Gadek, G Saminathan juga dari parti DAP.

Peguam yang mewakili ADUN DAP itu, Ramkarpal Singh juga Ahli Parlimen Gelugor serta Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer melahirkan rasa gembira dengan pembebasan tanpa apa-apa dakwaan selepas ini.

Mahkmah terpaksa bertindak melepaskan kesemua tahanan itu selepas mendapat arahan daripada Pendakwa Raya untuk tidak meneruskan prosiding terhadap mereka.

Saminathan melahirkan rasa gembira tidak terhingga terhadap pembebasan itu dan mengucapkan terima kasih khasnya Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pimpinan DAP lain yang berusaha membebaskannya daripada tuduhan itu.

“Ini adalah satu keputusan yang baik dan adil kerana kami sememangnya tidak melakukan apa-apa kesalahan menjurus kepada aktiviti keganasan.

“Penahanan ini juga tidak langsung mematahkan semangat untuk terus berjuang untuk dan demi rakyat di luar sana, saya sangat gembira, terima kasih semua,” katanya.

LTTE: Gunasekaran bebas, ucap terima kasih kepada AG, DAP

Antara pimpinan DAP lain yang hadir memberikan sokongan dan rasa gembira tidak terhingga termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang, M Kulasegaran, Ronnie Liu.

Jumaat lepas, Jabatan Peguam Negara Jumaat membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan LTTE.

Tommy menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Katanya, beliau membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.

Kesemua tahanan ini berhadapan dakwaan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan. –MalaysiaGazette

LTTE bukan pengganas, kami tak salah – Balamurugan