Pemandu teksi, V. Balamurugan

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu teksi, V. Balamurugan yang sebelum ini ditahan selepas didapati memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dibebaskan tanpa sebarang tuduhan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi,  Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan membebaskan Balamurugan terhadap dakwaan-dakwaan ke atasnya sebelum ini.

Keputusan itu merupakan pembebasan kedua kerana pagi tadi seorang wakil rakyat DAP DAP, P. Gunasekaran juga dibebaskan tanpa sebarang tuduhan berkaitan LTTE.

Balamurugan ketika ditemui melahirkan rasa gembira kes itu tidak dapat diteruskan kerana mendakwa ia hanya satu bentuk penganiayaan.

“Saya gembira sangat-sangat. Terima kasih Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kerana keputusan ini. Terima kasih kepada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran juga. Sememangnya kami langsung tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Ingatlah, di mana sahaja berlakunya penganiyaan dan ketidakadilan bagi kaum kami (masyarakat India), kami akan terus bersuara lantang, menentang, beremosi dan bersedih seperti yang terjadi dalam isu LTTE ini.

“Penahanan ini yang lebih empat bulan ini juga tidak langsung memberikan impak atau rasa takut kepada kami daripada terus menyokong mangsa-mangsa perang, yang teraniya. Sokongan LTTE kami kepada mereka bukannya satu kesalahan keganasan.

“LTTE bukanlah satu organisasi pengganas.

“Kami tidak lakukan apa-apa kesalahan menyokong pengganas kerana itu mahkamah telah melepaskan kami pada akhirnya. Keadilan akhirnya terjawab juga. Terima kasih semua,” katanya.

Sebelum ini, Balamurugan telah didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat atau dipenjara maksimum 30 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Pada Jumaat lepas, Tommy telah mengarahkan pertuduhan ke atas 12 individu itu dihentikan serta merta.

Tommy berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan dilakukan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan dikenakan kepada mereka.

Katanya, keputusan itu dibuat mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan berdasarkan undang-undang. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

LTTE: Gunasekaran bebas, ucap terima kasih kepada AG, DAP

1 Komen

Comments are closed.