ADUN Seremban Jaya, P. Gunasekaran (kanan) memeluk Peguam, Ramkarpal Singh (kiri) setelah dilepaskan daripada semua dakwaan berkaitan LTTE oleh Mahkamah TInggi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 24 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas semua dakwaan terlibat dan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LLTE)  mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada DAP dan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Kata beliau, pengalaman selama empat bulan dan 20 hari ditahan atas dakwaan menyokong LLTE bukannya sesuatu yang mudah namun ia dilakukannya demi para pengundi yang mempercayai beliau serta DAP.

“Ucapan terima kasih kepada semua terutamanya DAP pimpinan seperti saudara Lim Kit Siang, peguam Ramkarpal dan ramai lagi secara keseluruhan.

“Juga kepada Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, tanpa anda dan budi bicara anda tidak mungkin pembebasan penuh keadilan ini berlaku.

“Terima kasih yang tidak terhingga, kami dalam DAP akan terus berjuang dan pastinya tidak akan sesekali mengecewakan pengundi saya,” katanya sambil menadah tangan mengucap syukur.

Pada 31 Oktober lalu, Gunasekaran, ahli DAP, V Suresh Kumar dan pengusaha restoran, B Subramaniam masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan.

Gunasekaran didakwa menggunakan nama ‘DAP Guna Palanisamy’, Subramaniam atas nama ‘US SUBRA SUBRAMANIAM’ dan Suresh Kumar dengan nama ‘RocketSuresh DAP’.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di sini pada 7 dan 11 Oktober 2019 pada masa berlainan iaitu 2 petang, 5.30 petang dan 6 petang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Penasihat DAP, Kit Siang turut melahirkan rasa gembira dengan pembebasan tersebut dan yakin keadilan akhirnya telah terlaksana. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.