KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) mengambil pendirian memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen dan memberi mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan.
Setiausaha Bersama MN, Tan Sri Annuar Musa berkata, dengan itu juga MN menarik balik surat akuan sumpah (SD) yang dipersembahkan Presiden UMNO, Pas, MCA, MIC dan PBRS kepada Yang di-Pertuan Agong Ahad lalu.
Katanya, sokongan yang diberikan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini juga ditarik balik, berikutan MN tidak bersetuju dengan kaedah pembentukan kerajaan perpaduan yang dianjurkan Perdana Menteri interim itu.
“Setelah berbincang dan supaya tidak timbul teka-teki serta telahan terhadap MN, kami mohon Parlimen dibubarkan dan biarlah rakyat yang menentukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas bersama Setiausaha MN di Bangunan Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Menurut Annuar, apa yang dilakukan Dr. Mahathir dianggap tidak adil kepada rakyat dan sepatutnya kerajaan perpaduan dibentuk secara prinsip demokrasi berparlimen, bukan dengan individu yang memilih beliau.
“Kaedah yang diambil ini sudah tentu tidak menghormati suara parti, sebaliknya mengambil suara individu yang tentunya boleh menimbulkan konflik kepada parti terlibat iaitu UMNO, MCA, MIC, Pas dan PBRS,” katanya.
Kata beliau, jika Dr. Mahathir hendak membentuk kerajaan perpaduan, beliau mesti mengikut yang ditetapkan mana-mana parti gabungan, bukan bercanggah dengan apa yang dikatakan sebagai dasar MN.
“Berasaskan kepada kemungkinan hendak dibentuk satu kerajaan perpaduan, kalau benar berlaku, secara prinsipnya ia banyak bercanggah dengan dasar yang telah ditetapkan oleh parti kami.
“Iaitu apa-apa perkiraan membentuk kerajaan mestilah berdasarkan parti, bukan individu.
“Ini kerana cadangan membentuk kerajaan perpaduan itu dikatakan dibentuk dengan bakal Perdana Menteri memilih individu bukan parti bagi membentuk Kabinet,” katanya. – MalaysiaGazette
Tempoh masa berbaki sehingga PRU15 pun sudah tidak berapa lama lagi, cadangan Muafakat Nasional mohon Agong bubar Parlimen adalah langkah terbaik!