Kenderaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di kediaman Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad di The Mines Residence Seri Kembangan, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat hadir di kediaman Tun Dr. Mahathir Mohamad di The Mines Residence, Seri Kembangan pukul 8.05 pagi tadi.

Beliau menaiki kenderaan kenis Toyota Vellfire hitam diiringi beberapa kenderaan lain.

Kunjungan Muhyiddin dipercayai bagi memujuk Mahathir agar tidak melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu dan meneruskan peranannya sebagai Perdana Menteri seperti yang diputuskan dalam mesyuarat Bersatu malam tadi.

Kira-kira 10 minit selepas itu, Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun pula dilihat tiba melalui pintu B.

Turut kelihatan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang tiba pukul 8.30 pagi.

Kenderaan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tiba di kediaman Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad di The Mines Residence Seri Kembangan, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 FEBRUARI 2020.

Pertemuan mereka dengan Mahathir yang kini merupakan Perdana Menteri interim berlangsung kira-kira sejam.

Sekumpulan media yang menunggu di pintu A kemudiannya dimaklumkan oleh anggota polis yang berkawal di situ yang Mahathir sudah keluar meninggalkan kediamannya melalui pintu B.

Selang 25 minit kemudian kenderaan yang membawa Muhyiddin pula dilihat keluar.

Bagaimanapun, kenderaan yang membawa Mukhriz dan Rina tidak kelihatan.

Difahamkan, Mahathir menuju ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya untuk urusan yang tidak diketahui. – MalaysiaGazette