Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Berikutan senario ekonomi global dan impak Covid-19, pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2020 diunjurkan dalam julat 3.2% hingga 4.2%.

Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 akan membolehkan ekonomi negara meningkat pada tahap tertinggi dalam julat tersebut.

Menurut beliau, dalam rangka pakej rangsangan ini, kerajaan turut mengambil berat prestasi fiskal negara.

Defisit fiskal dianggarkan meningkat sedikit kepada 3.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding anggaran asal 3.2%.

“Kerajaan juga menyedari bahawa pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi tidak boleh dilaksanakan hanya satu pihak sahaja.

“Oleh yang demikian, kerajaan menyeru pihak swasta secara langsung dan tidak langsung turut terlibat bagi memastikan pakej ini berjaya,” katanya di sini hari ini.

Pada masa yang sama, kerajaan turut berharap rakyat terus cekal, berani dan tekun bagi menghadapi cabaran yang dihadapi sekarang dan menjadi lebih mampan dalam melalui episod ini.

“Insya-Allah dengan kerjasama, usaha yang gigih dan jati diri yang kukuh, negara kita akan kembali dengan lebih makmur dan berdaya tahan,” tambahnya. – MalaysiaGazette