Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Perniagaan yang terjejas dengan sektor pelancongan dibenarkan menundakan ansuran bulanan cukai pendapatan bagi perniagaan yang terjejas bagi tempoh enam bulan mulai April hingga September 2020.

Syarikat yang terjejas turut dibenarkan menyemak semula anggaran keuntungan tahun 2020 bagi menentukan ansuran bulanan cukai pendapatan tanpa dikenakan penalti.

Ketika mengumumkan PakejĀ  Rangsangan Ekonomi 2020, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hotel, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pusat membeli belah, pusat konvensyen dan pameran pula diberi diskaun sementara selama enam bulan sebanyak 15 peratus untuk bil elektrik.

Selain itu, mengecualikan levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia bagi hotel dan syarikat pelancongan serta mengecualikan cukai perkhidmatan bagi hotel.

Inisiatif ini akan bermula lebih awal iaitu pada bulan Mac hingga Ogos 2020.

Perdana Menteri Interim itu menambah kerajaan juga akan menyediakan tabungan pinjaman kewangan kepada syarikat yang terkesan, iaitu Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan Kemudahan Jaminan Bantuan Istimewa berjumlah RM2 bilion, terutamanya pembiayaan modal kerja untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pada kadar 3.75 peratus.

Bank Simpanan Nasional (BSN) akan memperuntukkan RM200 juta kemudahan mikro kredit pada kadar empat peratus.

Selain itu, proses kelulusan dana sedia ada di Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) di bawah Tabung Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1.5 bilion akan dipercepatkan.

Menurutnya, semua bank dikehendaki mengurangkan beban kewangan dalam bentuk penangguhan bayaran atau penjadualan semula pinjaman.

Beliau berkata, BNM akan memantau pelaksanaan danmemastikan pematuhan di kalangan institusi kewangan.

Pihak industri seperti perhotelan dan pusat beli-belah digalakkan untuk turut memainkan peranan dengan menawarkan diskaun dan mengurangkan kadar sewa premis.

Malaysia Airport Berhad Berhad (MAHB) akan mengurangkan kadar sewa premis kepada penyewa di lapangan terbang, dan juga akan mengurangkan caj pendaratan dan parkir. – MalaysiaGazette