KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini mengesyorkan agar umat Islam turut sama melakukan solat hajat dan berdoa supaya isu kepimpinan yang melanda negara ketika ini dapat diselesaikan dengan baik dan teratur.
Menurutnya, umat Islam hendaklah sentiasa bersabar dan bertawakal kepada Allah serta pada masa yang sama tidak terpengaruh dengan sebarang tindakan di luar daripada undang-undang.
Katanya, krisis pemilihan pemimpinan juga pernah terjadi selepas kewafatan Rasulullah SAW.
“Kemuncak peristiwa keadaan politik yang meruncing adalah selepas kewafatan Rasulullah SAW, makanya Saidina Abu Bakar R.A memainkan peranan dengan mengembalikan ummah kepada Nas Ilahi dan Hadyu Nabawi sebagai penyelesaian atas kemelut tersebut dan ternyata hasilnya berjaya.
“Justeru saya bersetuju agar umat Islam berdoa kepada Allah SWT dan juga melakukan solat hajat.
“Penting juga masyarakat mengetahui perjalanan proses dari sumber yang sebenar dan maklumat yang tepat agar mereka faham mengikut lunas undang-undang dan realiti,” katanya pada Malaysia Gazette di sini hari ini.
Zulkifli memberitahu, sehubungan itu beliau akan mengemukakan sejumlah doa pada hari ini yang akan menyentuh mengenai pemimpin dan kepimpinan agar ia memberi manfaat kepada ummah.
Mufti Wilayah Persekutuan itu turut bersyukur dengan tindakan tepat dan bijak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menangani isu ini dan berharap agar masyarakat mentaati keputusan Baginda biarpun sekiranya berbeza rasa serta pandangan.
Krisis bermula beberapa hari lalu apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.
Ia kemudian menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah amalan demokrasi negara, penentuan untuk jawatan Perdana Menteri dilakukan secara bersemuka dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di mana kesemua 222 Ahli Parlimen diminta hadir untuk menyatakan sokongan kepada calon Perdana Menteri yang mereka hasratkan. – Malaysia Gazette