Sahruddin Jamal

JOHOR BAHRU – Pada ketika kerajaan negeri di utara Semenanjung seperti Perlis, Pulau Pinang dan Kedah dilihat agak stabil, lain pula ceritanya di dua buah negeri di bahagian selatan iaitu Melaka dan Johor.

Walaupun gabungan baharu membabitkan UMNO, Pas dan Bersatu dikatakan telah mengumpul bilangan secukupnya untuk membentuk kerajaan negeri Johor, tetapi perubahan masih boleh berlaku terutamanya kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr. Chong Fat Full telah berubah menyokong Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan memberitahu Sinchew Daily, Fat Full sebelum ini “memberi undi” kepada pakatan baharu dalam keadaan terdesak.

“Selepas memikirkannya, beliau beralih menyokong PH. Oleh itu, kami akan memaklumkan perkara ini kepada pihak istana dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, ADUN Perling, Cheo Yee How pula berharap dua wakil rakyat iaitu ADUN Simpang Jeram, Salahuddin Ayub dan ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang belum menandatangani surat akuan bersumpah diberi peluang menyatakan pendirian.

Menurut laporan China Press, PH sebelum ini yakin mendapat sokongan 30 ADUN termasuk dua dari Bersatu, justeru terkejut dengan penguasaan gabungan baharu.

Sumber turut memberitahu, PH yang tidak berpuas hati terhadap penyandang Menteri Besar (MB) Sahruddin Jamal yang “menghilangkan diri” sebelum ini bersedia mencadangkan Mazlan sebagai MB baharu.

Di pihak bertentangan pula, sumber berpendapat Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Hasni Mohammad merupakan calon popular untuk MB, walaupun Sahruddin mungkin menjadi calon pilihan Sultan Johor.

Sementara itu, keadaan juga tidak cerah di Melaka apabila ADUN Rembia, Muhammad Jailani Khamis yang “pro-Azmin” membuka mulut mengkritik Ketua Menteri, Adly Zahari yang membayangkan kerajaan PH Melaka sudah tumbang.

“Ini menunjukkan Adly tidak yakin dengan kedudukan diri dan kedudukan PH Melaka, ” kata Jalaini kepada China Press.

Ditanya China Press mengenai hala tuju politiknya, Jalaini berkata: “tunggu dan lihat.”

Menurut Jalaini, beliau akan menyokong sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri kerana adalah “tidak mudah” jika kerajaan negeri bertentangan dengan kerajaan Persekutuan.

“Satu kereta biarlah hanya ada seorang pemandu kerana pemandu yang banyak hanya akan mewujudkan perselisihan,” katanya. – MalaysiaGazette