Gambar hiasan helikopter MD530G

KUALA LUMPUR- Destini Bhd (Destini) hari ini mengumumkan projek helikopter MD530G, yang telah dibuat kajian semula semasa peralihan kerajaan antara 2018 dan 2019, sudah disambung kembali.

Syarikat itu dalam satu kenyataan menjelaskan kerajaan pada 15 Januari 2020 memberi kelulusan kepada kumpulan itu untuk terus melaksanakan tanggungan kontrak yang masih ada dengan program MD530G.

“Semua enam helikopter sedia ada sedang disediakan bagi ujian pra-penghantaran dan latihan di Amerika Syarikat.

“Kumpulan sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertahanan untuk membuat pengaturan pentadbiran bagi pelaksanaan aktiviti yang berbaki. Kesemua enam helikopter dijadualkan untuk penghantaran pada tahun ini,” katanya.

Pada awal 2017, Destini mengambilalih 70 peratus kepentingan dalam sebuah syarikat pembekalan helikopter tentera, yang telah diberikan kontrak bagi membekalkan enam buah helikopter peninjau bersenjata bernilai RM321.9 juta kepada Tentera Darat Malaysia. – Bernama