Petang ini, setelah koflik berkaitan pelantikan Perdana Menteri berlarutan selama lebih kurang seminggu, perkenan KBDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri telah menghentikan spekulasi dan perang saraf politik.
Semua pihak hendaklah mentaati perkenan dan titah Yang di-Pertuan Agong. Setelah pelbagai tindakan yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, termasuk memberikan peluang kedua kepada parti politik untuk menamakan calon mereka. Yang di-Pertuan Agong juga telah mengambil pendekatan berbincang dan mengambil pandangan serta perhatian kepada semua pihak. Kelihatan beberapa kali Yang di-Pertuan Agong berbincang dengan beberapa orang pemimpin utama parti politik. Tindakan bijaksana baginda tidak boleh dipersoalkan lagi.
Oleh yang demikian, Yang di-Pertuan Agong juga menentukan calon yang pada hemat baginda telah memperoleh kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Hanya Yang di-Pertuan Agong yang menentukannya dan sebarang kenyataan, spekulasi atau anggapan yang dibuat oleh mana-mana pihak di luar istana adalah tidak boleh mempengaruhi keputusan baginda.
Atas prinsip keluhuran Perlembagaan maka peruntukan Perlembagaan Persekutuan tentang hal ini hendaklah ditaati oleh semua pihak.
— Dr Shamrahayu A. Aziz adalah pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
– MalaysiaGazette