Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditemani isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman melambai ke arah petugas media selepas membuat berkenaan Perdana Menteri ke 8 di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 FEBRUARI 2020

1. Sah, tindakan terdesak saat akhir Pakatan untuk menjadi kerajaan semula adalah sia-sia walaupun dakwaan mereka memiliki 114 kerusi itu mungkin benar.

2. Perlembagaan Persekutuan Perkara 43(4) jelas mengatakan bahawa ‘Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong’.

3. Perlembagaan jelas menyatakan bahawa kuasa melantik Perdana Menteri dan membubarkan Dewan Rakyat adalah di tangan Yang di-Pertuan Agong, bukannya di tangan ahli majoriti Dewan Rakyat.

4. Kini Yang di-Pertuan Agong telah melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin secara sah, dan selepas mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020, hanya beliau yang boleh memilih sama ada untuk menasihati baginda untuk membubarkan Dewan Rakyat atau meletak jawatan.

5. Tiada istilah pelantikan Perdana Menteri bergantung 100% jumlah sokongan Ahli Dewan Rakyat, sebaliknya perlu perkenan Baginda – seperti mana dalam kes pelantikan Tan Sri Muhyiddin.

6. Berdasarkan situasi semasa, baginda telah menjalankan kesemua langkah secara tertib dan bijaksana seperti mana menurut Perlembagaan Persekutuan, dan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sah.

7. Tindakan sesetengah ahli parlimen melompat selepas pengisytiharan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dijadikan asas kononnya secara automatik pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin terbatal kerana ia tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sama sekali.

8. Hal ini bermakna kesemua ahli Parlimen boleh memilih sama ada untuk mematuhi keputusan baginda – dengan menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri – atau bertindak sebagai pembangkang di Dewan Rakyat. Bukannya menganggap diri mereka sebagai penentu posisi Perdana Menteri kerana segala prosedur telah dijalankan sebaiknya oleh Yang di-Pertuan Agong.

9. Satu lagi pilihan ahli parlimen yang tidak bersetuju dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin adalah dengan mendesak beliau agar membubarkan Dewan Rakyat. Tentulah mereka boleh mengemukakan undi tidak percaya, tetapi bukan dengan menganggap bahawa secara automatik calon yang mereka usulkan akan terus dilantik sebagai Perdana Menteri.

10. Harus diingat, langkah Pakatan mendesak peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin samalah ertinya mendesak beliau membubarkan dewan rakyat. Hakikatnya, keputusan telah dicapai menurut kaedah yang tertib. Tidak seharusnya ada cubaan oleh Pakatan untuk terus memanjangkan krisis politik di negara kita saat ini.

11. Sesungguhnya, hari ini krisis politik negara adalah berpunca daripada perebutan kuasa dalaman Pakatan Harapan. Ia telah dileraikan dengan sebaiknya oleh baginda Yang di-Pertuan Agong – dibantu kerjasama sebahagian ahli politik yang bertindak demi kestabilan negara, bukannya demi kepentingan individu. Maka Pakatan seharusnya insaf, tidak bertindak memanjangkan krisis ini dengan adegan lompat-melompat yang mengimpak kestabilan yang telah diputuskan Baginda.

Semoga Allah peliharakan kestabilan negara kita.

Allah Maha Besar,
Daulat Tuanku,
Tahniah Tan Sri Muhyiddin.
Terima kasih PAS, UMNO, Bersatu, GPS, dan PBRS.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)