Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melambaikan tangan kepada para media semasa tiba di pejabatnya sempena hari pertama bertugas di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MAC 2020.

SEBENARNYA tidak ada apa-apa yang berlaku. Pentadbiran kerajaan PH berjalan seperti biasa. Menteri dan timbalan menteri ke hulu ke hilir menghadiri program yang telah dijadualkan, yang sudah diatur sekian lama.

Cuma, kalau ada masalah pun, desakan dari beberapa pihak yang diketahui umum, mereka adalah dari kumpulan yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka, dalam jumlah ahli yang kecil berulang kali mendesak Tun Dr. Mahathir Mohamad menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar. Itu sahaja.

Mahathir pula, dengan persetujuan ketua-ketua parti gabungan Pakatan Harapan (PH) minta peralihan kuasa yang dijadualkan Mei ini ditangguhkan selepas APEC yang berlangsung pada November ini.

Ketua-ketua parti gabungan PH iaitu Anwar, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng bersetuju tanpa bantahan. Bagi mereka, tidak ada hal kalau itu yang Mahathir mahu.

Itu sahaja situasinya. Sebab itu, saya kata tidak ada apa-apa yang berlaku.

Namun, pada 24 Februari lalu bersamaan Isnin, rebut tidak, hujan tidak, Mahathir mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri.

Surat peletakan jawatan secara rasmi diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada hari itu, kira-kira jam 1 tengah hari. Semua terkejut dengan tindakan yang Mahathir.

Rakyat dan pemimpin parti politik termasuk Anwar tertanya-tanya kenapa tiba-tiba  Mahathir letak jawatan? Apa yang tak kena? Nak kata Mahathir terasa hati dengannya, tidak mungkin.

Sebab selama ini, dalam waktu terdekat ini, Anwar sentiasa menjaga hati Mahathir. Ibarat kata, bagai menantang minyak yang penuh. Bimbang kalau tak buat macam itu, takut Mahathir serahkan jawatan perdana menteri kepada orang lain. Aniaya.

Jam 5 petang itu juga, Mahathir ke Istana Negara mengadap YDPA. Tidak lama kemudian, Mahathir mengumumkan dia dilantik sebagai perdana menteri interim.

Interim? Semua garu kepala. Apa itu Perdana Menteri interim? Tidak pernah berlaku dan tidak pernah wujud jawatan seumpama itu.

Mengikut google translate, kalau diterjemahkan perkataan interim dalam Bahasa Malaysia, ia memberi makna ‘sementara’. Maknanya, Mahathir adalah perdana menteri sementara.

Ini yang pelik. Letak jawatan perdana menteri kekal, terima jawatan perdana menteri interim atau sementara. Di sini bertukarnya situasi dari “tidak ada apa-apa”, kepada “ada apa-apa”.

Timbul persoalan, apa yang Mahathir mahu? Apa yang ada dalam mindanya? Letak jawatan yang kekal, terima jawatan yang sementara.

Pada masa sama, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan partinya keluar PH – sekali gus secara automatik juga kerajaan PH ‘jatuh’.

Malaysia tidak ada kerajaan lagi. Mahathir sebagai perdana menteri interim jaga negara ini seorang diri. Pada 27 Februari, beliau berucap melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 seorang diri, tanpa ada menteri dan kerajaan.

Tindakan Mahathir itu menyebabkan semua ketua-ketua parti politik gelabah. UMNO dan Pas yang ketika itu mengadakan retreat di Janda Baik, Pahang, bergegas pulang ke ibu kota untuk bermesyuarat.

Parti Muafakat Nasional (MN) yang terdiri dari UMNO, Pas, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) masing-masing mengadakan mesyuarat tergempar.

Mereka, termasuk sekumpulan ahli parlimen Bersatu dan geng Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah membuat rumusan menyiapkan Surat Akuan Sumpah (SD) untuk dipersembahkan kepada YDPA.

Akhirnya, mereka mendapat 114 kerusi atau sokongan, manakala baki daripada 222 kerusi itu milik PH dan Mahathir.

Pada malam itu, semua mereka mengadakan perjumpaan di Hotel Sheriton, Kuala Lumpur. Mahathir yang dijadual hadir, tidak hadir.

Ramai tertanya-tanya kenapa dia tidak hadir.

Selepas selesai perjumpaan, keesokan hari, mereka mempersembahkan SD kepada Yang di-Pertuan Agong. SD itu asalnya menyatakan sokongan kepada perdana menteri interim.

Namun, pada 25 Februari 2020, hari Selasa, Mahathir mengadap YDPA sekali lagi menyatakan dia tidak setuju bersama UMNO dan tidak mahu Perikatan Nasional membentuk kerajaan. Dia mahu bersama PH.

Ahli Parlimen MN kemudian dipanggil mengadap YDPA untuk menyatakan sama ada menyokong Mahathir atau tidak. Mahathir pada masa itu mahu menubuhkan kerajaan perpaduan. Iaitu kerajaan tanpa parti.

Semua ahli parlimen MN tidak sokong dan menarik balik SD yang dipersembahkan kepada  YDPA sebelum ini. Mereka lebih rela parlimen dibubarkan asalkan tidak bersengkokol dengan DAP, Amanah dan PKR yang menyokong Anwar..

PH merasakan mereka mempunyai sokongan majoriti dan mahu membentuk kerajaan PH semula, tidak diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dengan alasan, jumlah diperoleh masih samar-samar kerana sebahagian MP PKR sudah keluar dari PKR.

Pada 26 Februari 2020, hari Rabu, tiba giliran ahli parlimen PH pula dipanggil mengadap YDPA untuk mengundi atau menyatakan sokongan mereka kepada siapa.

Di situ, PH mendakwa mereka mendapat lebih 130 sokongan, tetapi YDPA masih belum perkenan untuk membentuk kerajaan, kerana SD Muafakat Nasional sebelum ini juga mendapat jumlah lebih 130 kerusi atau sokongan.

Masing-masing parti gabungan dari PH dan MN bermesyuarat untuk mencari jalan penyelesaian terbaik. Namun, masih gagal mencapai kata sepakat. Bagi MN, asalkan bukan DAP, mereka akan sokong.

Bagi PH pula, asalkan bukan UMNO dan Pas, mereka akan bentuk kerajaan. Sangat memeningkan!

27 Februari 2020 hari Khamis, Mahathir mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan tetapi beberapa jam kemudian menarik balik sokongannya dan mencalonkan dirinya manakala MN kekal dengan pencalonannya, Muhyiddin.

Parti Warisan dan beberapa kerat MP PPBM berpaling tadah dari MN untuk menyatakan sokongan kepada Mahathir serta mahu bersama PH.

Ketika itu, kedengaran pemimpin dari MN mahu YDPA membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15 dan serahkan mandat memilih pemimpin dan kerajaan kepada rakyat.

Mahathir juga mengumumkan akan memanggil sidang Dewan Rakyat pada 2 Mac ini untuk semua ahli parlimen memilih Perdana Menteri kelapan, jika sekiranya YDPA tidak membubarkan parlimen.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof tidak bersetuju. Katanya, persidangan akan berlangsung seperti dijadualkan pada 9 Mac ini.

Pada 28 Februari 2020, hari Jumaat, Muhyiddin dikatakan mendapat jumlah sokongan terbanyak iaitu 114 kerusi MP, menyebabkan Mahathir, Anwar dan ketua-ketua parti gabungan PH tidak berpuas hati.

Kumpulan PH kemukakan bantahan kerana mendakwa Mahathir dan PH mendapat jumlah kerusi mengatasi jumlah kerusi yang diperolehi MN.

Ketika ini YDPA kekal dengan keputusan baginda untuk mengumumkan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.

Pada 29 Februari 2020, hari Sabtu, MN dan PH masing-masing membuat kenyataan media kononnya, mereka mendapat sokongan majoriti.

Pihak istana sudah tidak campur tangan lagi. Bagi Istana Negara, baginda sudah melaksanakan sistem demokrasi berparlimen dengan sebaiknya.

Sama ada MN atau PH tidak bersetuju, itu lain cerita. Istana Negara menetapkan 1 Mac 2020, hari Ahad sebagai tarikh Muhyiddin mengangkat sumpah memegang jawatan Perdana Menteri.

PH bermesyuarat dan sepakat untuk mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin pada sidang Dewan Rakyat 9 Mac ini.

Pada 1 Mac 2020 hari Ahad, kira-kira 10 pagi, pemimpin MN diketuai Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengadakan solat hajat sempena upacara angkat sumpah Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur.

Turut hadir dari pihak UMNO ialah Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Ahmad Maslan, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Tan Sri Noh Omar.

Mahathir memberitahu, beliau memohon untuk mengadap YDPA, tetapi tidak mendapat perkenan Seri Paduka kerana tidak mahu mengganggu upacara mengangkat sumpah perdana menteri kelapan.

Jam 11 pagi, Muhyiddin mengangkat sumpah dan secara rasminya sebagai Perdana Menteri dan hari ini, kira-kira jam 8 pagi, Muhyiddin masuk pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Apapun, drama ini belum berakhir, malah baharu bermula. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Orang lain sibuk berdrama, rakyat jugak yang susah.
    Macam drama Korea, semua nye tak leh dipercayai, cakap berbalik balik, atas kepentingan peribadi.
    Peribadi macam ni, macam mane nak bantu rakyat ?

Comments are closed.