Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba dipejabatnya pada hari pertama bertugas di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 02 MAC 2020.

Tan Sri Muhyiddin Yassin,

Izinkan saya mencoretkan warkah ini sebagai rakyat Malaysia biasa yang mengharapkan Malaysia segera dipulihkan di mana perhatian dan komitmen Tan Sri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) amat diperlukan.

Adalah diketahui bahawa suhu politik negara masih panas. PN di bawah kepimpinan Tan Sri dan pasukan tidak boleh leka dengan puji dan puja yang pasti tidak akan kunjung reda untuk tempoh beberapa minggu atau bulan ini.

Agenda reform yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu harus diteruskan tetapi dengan pendekatan, strategi dan inisiatif lebih telus, ikhlas dan menyeluruh.

Tidak dapat dinafikan akan kegembiraan yang terpancar di wajah kepimpinan utama dan ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) serta pendukungnya.

Pada masa yang sama amat pahit untuk kepimpinan utama, ahli parlimen dan pendukung PH menerima hakikat yang mereka tidak lagi berkuasa.

Pastinya ia satu tragedi dalam sejarah politik PH khususnya dan negara amnya untuk menyaksikan parti pemerintah runtuh disebabkan kemelut dalaman yang tidak terbendung dan tidak dibendung dengan bijak serta berhikmah.

Satu hakikat yang seluruh rakyat Malaysia mahupun kepimpinan dan para pendukung kedua-dua belah pihak wajar ambil iktibar.

Jiwa Besar

Pasti semua mereka di barisan kepimpinan utama parti politik PN dan ahli parlimen mula memasang angan-angan menjadi menteri, timbalan menteri atau pengerusi GLCs mahupun agensi-agensi kerajaan.

Adalah tidak salah untuk punya rasa tersebut. Mereka yang menceburi bidang politik pastinya wajar meletakkan cita-cita untuk menjadi seorang menteri hatta Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, situasi politik hari ini yang sangat rapuh menuntut kebijaksanaan Perdana Menteri dan jiwa besar pemimpin parti komponen dan ahli parlimennya.

Kebijaksanaan yang dimaksudkan ialah kemampuan PM membuat pilihan terbaik akan barisan Kabinetnya yang akan membawa peranan kuasa eksekutif negara.

Di sinilah jiwa besar kepimpinan parti dan Ahli Parlimen PN dituntut iaitu memberi kuasa kepada PM untuk memilih barisan Kabinetnya.

Kuasa itu pasti memberi kekuatan dan semangat untuk memilih mereka yang benar-benar berkualiti dari kalangan ahli parlimen dan pakar atau ahli professional yang boleh dilantik menjadi senator untuk membarisi kabinet.

Kabinet Impian & Berprestasi Tinggi

PM perlu berusaha menampilkan Kabinet impian rakyat.

Ciri-ciri ahli Kabinet impian rakyat pasti antaranya bijak, berintegriti, kredibiliti, berjiwa rakyat dan berwawasan untuk menggemilangkan negara ini. Dengan kata lain, rakyat dan negara mahukan barisan Kabinet berprestasi tinggi.

Tempatkanlah mereka yang ahli di tempatnya. Malaysia tidak pernah ketandusan putera dan puterinya yang berkebolehan tersohor lagi terpuji.

Belajarlah daripada kesilapan dahulu dan orang lain yang membariskan barisan kabinet yang lebih mirip kepada habuan politik.

Dengan kata lain, pastikanlah mereka yang diangkat, baik dari kalangan ahli parlimen mahupun professional adalah mereka yang bijak, berintegriti, berkredibiliti, berjiwa rakyat dan berwawasan.

Jangan sesekali diangkat mereka yang bijak tetapi sombong kepada rakyat. Pastinya mereka ini akan menjadi liabiliti kepada kerajaan.

Sehubungan dengan itu, kepimpinan utama parti dan ahli parlimen tidak terpilih perlu terus bekerja memperkukuhkan parti dan menyantuni rakyat di parlimen masing-masing iaitu bagi ahli parlimen.

Ahli parlimen perlu pergi ke setiap pelosok Parlimennya, kenali pengundi dan rakyat di kawasannya, selami suka duka dan harapan mereka, santuni mereka sebaik-baiknya, jangan bawa diri umpama raja apabila bertemu mereka, jadikanlah diri umpama hamba, saudara atau sahabat yang sentiasa bersama mereka.

Gegarkan dewan Parlimen dengan keluh kesah mereka, hambat menteri-menteri dan agensi segera bertindak dan pantas bekerja. Tidakkah ini semua kerja mulia dan kepuasan buat seorang ahli Parlimen.

Insya Allah, pasti rakyat akan menyanjung pemimpin sedemikian rupa dan pasti PM nampak itu semua. Ada rezeki pasti jawatan menteri atau lebih tinggi bakal menjadi milik ahli parlimen berkaitan.

Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah

Kerajaan PN perlu membawa perubahan juga dalam aspek melantik kepimpinan parti dan ahli parlimen sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah untuk GLCs dan agensi-agensi utama kerajaan.

Lantiklah mereka yang berkebolehan dan pastikan seseorang itu tidak menjadi pengerusi atau ahli lembaga pengarah untuk jumlah GLCs dan agensi yang banyak.

Lantiklah mereka ke dalam satu atau dua GLCs atau agensi sahaja. Pendekatan ini adalah lebih baik kerana mereka dapat memberi tumpuan dan sumbangan yang berkualiti kerana di masa yang sama mereka perlu menyantuni parlimen atau DUN mereka.

Di samping itu, lantik profesional yang berkebolehan. Beri peluang kepada muka-muka baru. Gembelingkan muka lama dan baru. Hentikanlah terus-terusan mengitar semula muka-muka lama yang sama. Kitar semula secara keterlaluan ini juga membuatkan rakyat benci kepada kerajaan.

Jangan nafikan hak bangsa lain untuk bersama. Pilihlah yang terbaik dalam kalangan Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan atau apa juga bangsa.

Walaupun kerajaan PN didominasi oleh orang Melayu, janganlah terlalu terbawa-bawa sentimen Melayu semua. Ingatlah, ramai orang Melayu tidak selesa khususnya profesional apabila melihat amalan-amalan pilih kasih yang terlalu ketara. Sesungguhnya ramai orang Melayu yang bersedia bersaing secara sihat dengan rakan-rakan bangsa lain.

Ini tidak bermakna mereka yang lemah tidak dibantu. Wajib orang Melayu yang susah dibantu. Begitu juga dengan bangsa-bangsa lain.

Kesimpulan

Seluruh rakyat baik pendukung kerajaan PN mahupun pihak lawan menanti apa lainnya, bagusnya dan benarnya kerajaan PN ini.

Inilah sebesar-besar peluang iaitu sekitar dua ke tiga tahun lagi untuk kerajaan PN membuktikan kebolehan dalam menyantuni aspirasi rakyat.

Gagal melakukan perubahan akibat gagal membawa kelainan akan membawa kepada hukuman keras rakyat kepada kerajaan PN.

Untuk itu Perdana Menteri amat perlu memastikan setiap lantikan yang dibuat untuk membarisi kabinet, GLCs dan agensi adalah mereka yang benar-benar teruji bijak, berintegriti, berkredibiliti, berjiwa rakyat dan berwawasan.

Sekiranya kepimpinan parti politik dan ahli parlimen PN cerdik dan berpandangan jauh, pasti mereka bersetia, bersedia dan bersatu untuk menjayakan agenda reform negara ini.

Akhir kata, marilah kita semua iaitu rakyat Malaysia berkerja sebaik-baiknya dan tanamkan tekad dalam hati iaitu berkerja kerana Allah dan untuk menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara yang hebat dan gemilang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. Kita nk lagi ke bertolak ansur dgn bngsa lain, terutama cina..?? Bertolak ansur ada hak n batasan nya..ini ngra kita..kita bina dgn darah pasa pjuang kemerdekaan, tiba2 dtg pdtg cakap ini ngra dia..lpas tu tak pnh nk berterima ksih kpd bngsa asal kat sini..luoa diri sombong dan gila kuasa itu yg elok di beri kpd puak2 dap kafir harbi..ingat mlyu mesti menjadi tuan n tunjang kpd bangsa mlysia.demi utk kemakmuran bersama…ini kali lh kami bg muka..kmi dh lama bg muka, tapi kmu pijak kami..klu rasa nk duduk kat sini..ikut acuan kami bngsa asal..kani tidak sekejam bngsa lain kat dunia ni..bgsa kami mlyu sgt2 perikemanusiaan n prihatin terhadp bngsa kat mlysia ni..itu sbb pendatang asing dr bangla, indo nepal, mymar jadi kn ngra ini sprti ngra mak bapak dia..sbb kita bgsa mlyu terlalu baik hati…ingat baik2 kita ada hak nya..jgn jolok srang tebuang..

  2. Segala bende dalam negara ini perlu dibina berlandakan perlembagaan! Mana2 yang tidak berpelembagaan perlu dihapuskan dengan segera!

Comments are closed.