Gabungan Parti Sarawak

KUALA LUMPUR – Pemuda Gabungan Parti Sarawak pelik dengan sikap DAP yang melalak menyalahkan GPS apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Sedangkan, DAP tidak pernah bersuara ketika hak dan kepentingan Sarawak diabaikan serta segala projek untuk bumi kenyalang itu ditarik balik oleh kerajaan Pakatan Harapan selama 21 bulan menjadi kerajaan.

“Ini jelas menunjukkan betapa DAP Sarawak termasuk Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, sebenarnya lebih pentingkan diri dan kuasa, berbanding kepentingan rakyat dan negeri Sarawak,” kata Pemuda GPS dalam kenyataan hari ini.

Pemuda GPS juga menyifatkan DAP sebagai amat terdesak apabila Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, menyalahkan GPS kononnya menjadi sebahagian daripada gerakan membentuk apa yang mereka dakwa sebagai kerajaan pintu belakang.

Dr Kelvin juga menuduh GPS sebagai memanupulasi kemelut politik yang melanda negara.

“In adalah satu kenyataan terdesak dan sengaja dicipta untuk mengelirukan rakyat,” kata Pemuda GPS yang menyertakan empat nama wakil rakyatnya dalam kenyatan itu iaitu Gerald Rentap Jabu, Datuk Snowdan Lawan, Micheal Tiang dan Robert Ayu.

Menurut Pemuda GPS, DAP dan PKR sebenarnya yang menjadi punca kepada kemelut politik negara.

Jika mereka tidak terlalu mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, PH mungkin masih lagi berkuasa hingga ke hari ini.

Malah, kata Pemuda GPS, jika DAP dan PKR konsisten mencalonkan Dr Mahathir serta tidak  mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong, kemelut politik negara akan selesai lebih awal dan Dr Mahathir akan menjadi Perdana Menteri.

“Dr Kelvin dan DAP patut cermin diri, semua ini sebenarnya angkara siapa. Mereka asyik berebut kuasa sesama sendiri sehingga rakyat dan negara yang menjadi mangsa,” katanya.

Menjelaskan keadaan sebenar, Pemuda GPS berkata, GPS tersepit di tengah-tengah kemelut yang melanda dan dijemput melalui ‘pintu hadapan’ untuk membuat pilihan serta keputusan bagi menyelesaikan kemelut yang dicipta oleh PH sendiri.

Katanya, GPS memilih Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan supaya politik negara kembali stabil dan kerajaan dapat memberi tumpuan kepada usaha memacu kembali ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat.

“Apabila hilang kuasa akibat kerakusan pemimpin PH sendiri yang asyik berebut nak jadi Perdana Menteri sejak menang Pilihan Raya Umum ke-14 sehingga membawa kepada kemuncak kejatuhan PH sendiri, DAP salahkan GPS pula,” katanya.

GPS turut mengimbas pengalaman melihat bagaimana DAP membisu ketika semua projek termasuk Jambatan Batang Lupar, Jambatan Batang Rambungan dan Batang Igan yang sudah diluluskan kerajaan terdahulu untuk Sarawak dibatalkan selepas PH berkuasa,.

Begitu juga ketika kerajaan PH enggan menyediakan bajet untuk sekolah daif, ketika Petronas enggan membayar 5 peratus cukai petroleum dan juga ketika ada pemimpin PH menyuarakan niat menghapuskan autonomi Imigresen Sarawak.

“Dan ketika PH memindah pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Borneo ke Sabah, ketika PH melantik warga Malaya sebagai Pengerusi UNIMAS dan banyak lagi kepentingan Sarawak terjejas sepanjang PH berkuasa.

“Kenapa DAP membisu ketika semua ini berlaku terhadap Sarawak dan hanya bersuara menyalahkan GPS apabila hilang kuasa serta mencipta seribu satu alasan untuk menyalahkan GPS.

“Apa keutamaan DAP sebenarnya? Ketika GPS berjuang mengutamakan rakyat dan negeri Sarawak, DAP Sarawak berjuang untuk kepentingan kuasa dan diri mereka sendiri,” katanya.

Pemuda GPS juga kesal apabila DAP kini memainkan sentimen menakut-nakutkan rakyat Sarawak dengan kehadiran UMNO dan PAS dalam Perikatan Nasional (PN), sedangkan hala tuju perjuangan GPS tetap akan berdiri atas kapasiti sebuah entiti politik Sarawak dan tidak akan menyertai Muafakat Nasional (MN) mahupun PN.

“Mungkin DAP sudah lupa bahawa DAP dan PKR yang sebenarnya dahulu pernah ‘tidur sebantal’ dengan Pas dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

Pemuda GPS menegaskan pendirian bahawa keutamaan parti itu adalah tetap tetap Sarawak didahulukan dan GPS akan terus bertegas dalam memperjuangkan hak negeri itu seperti termaktub di dalam MA63.

“GPS juga tidak akan membenarkan sebarang unsur yang boleh menganggu-gugat keharmonian rakyat pelbagai kaum di negeri ini daripada menyerap masuk ke negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. kalau macam itu patut lah gps ajar ph cukup2. jangan bagi muka pada dap. dan tanya dia siapa sebenarnya penjenayah negara. syabas gps. berjuang untok rakyat.

  2. Jangan biarkan parti yg meniupkan sentimen api perkauman dan pendusta hidup di negara Msia yg kita cintai..

Comments are closed.