JOHOR BAHRU – Barisan Exco Johor yang baharu di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad dijangka mengangkat sumpah di Istana Bukit Serene, pagi esok (6 Mac).
Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) dan UMNO Johor itu sudah mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi pada petang tadi.
MalaysiaGazette difahamkam pertemuan itu adalah untuk memohon perkenan daripada Sultan Johor berhubung senarai barisan Exco Johor yang baharu.
Hasni ketika dihubungi mengesahkan barisan Exco Johor yang baharu akan mengangkat sumpah esok.
Sementara itu, nama yang disebut bakal dilantik menjadi Exco baharu ialah Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang), Pengerusi MIC Johor, R. Vidyanathan (BN-MIC), Ayub Jamil (BN-Rengit), Zaiton Ismail (BN-Sungai Balang) dan Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Layang-Layang).
Bagi Pas pula satu-satunya calon mereka ialah Najib Lep (Bukit Pasir).
Jawatan Exco Bersatu pula dijangka bakal dibarisi oleh Pengerusinya, Mazlan Bujang (Puteri Wangsa), Mohd. Solihan Badri (Tenang), Mohd. Izhar Ahmad (Larkin) dan seorang wakil kaum Tionghua diwakili ADUN Bebas, Dr Chong Fat Full (Pemanis). – MalaysiaGazette.