Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR – Empat pasukan bola sepak liga tempatan bagi musim 2020 telah diarahkan membayar tunggakan gaji pemain serta pegawai masing-masing.

Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat ketetapan itu dalam satu mesyuarat yang bersidang pada Selasa lalu.

Dalam mesyuarat tersebut, pengerusi jawatankuasa itu, Mohd Joehari Ayub berkata, pihaknya telah menerima aduan mengenai tuntutan tunggakan gaji pemain dan pegawai melibatkan Persatuan Bola Sepak Kelantan, Persatuan Bola Sepak Sarawak, Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) dan Persatuan Bola Sepak Perlis.

Bagaimanapun satu aduan melibatkan tuntutan yuran agensi dikemukakan oleh ejen pemain, B Gobala Krishnan terhadap pasukan bola sepak Sarawak telah ditolak oleh jawatankuasa tersebut.

Mesyuarat itu bersetuju untuk mengarahkan pasukan Kelantan membayar tunggakan gaji sebanyak RM167,304 untuk pemainnya, Amirizdwan Taj Tajudin dan pegawainya, Mohd Hisham Jainudin (RM11,166 – tertakluk kepada potongan wajib pendapatan).

Mesyuarat sama turut menerima tuntutan daripada tiga pegawai terhadap PDRM FA berhubung tunggakan gaji mereka yang masih belum dijelaskan pasukan itu.

Maka jawatankuasa itu menerima sebahagian tuntutan ketiga-tiga individu itu dan mengarahkan PDRM FA membayar tunggakan gaji (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) melibatkan tiga permain berkenaan iaitu:Liew Kit Kong (RM26,000), E. Elavarasan (RM60,000) dan pembayaran penuh cukai pendapatan Wan Mustaffa Wan Ismail (RM43,000)

Jawatankuasa sama menerima tuntutan dua pegawai terhadap Persatuan Bolasepak Perlis berhubung tunggakan gaji dan pampasan kontrak sebelum tuntutan mereka sebahagiannya diterima dan Persatuan Bolasepak Perlis dikehendaki membayar tunggakan gaji (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) dan pampasan baki kontrak.

Dua pegawai berkenaan adalah Mohd Faizal Mohd Esahar melibatkan tunggakan gaji berjumlah RM24,000 dan RM120,000 pampasan baki kontrak) manakala Mohd Hisham Jainudin wang tunggakan berjumlah RM21,000 dan wang RM55,741.95 sebagai pampasan baki kontrak)

Dua lagi pegawai turut menuntut tunggakan gaji dan pampasan kontrak terhadap pasukan Perlis sebelum diputuskan bahawa pasukan itu dikehendaki membayar tunggakan gaji (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) dan pampasan baki kontrak iaitu Ahmad Nizan Ariffin (RM21,000 tunggakan gaji & RM154,000 pampasan baki kontrak) dan Kamal Daut (RM18,000 tunggakan gaji & RM132,000 pampasan baki kontrak). MalaysiaGazette