Abdul Hamid Bador

KLANG – Polis meminta mana-mana pihak sama ada badan bukan kerajaan (NGO) mahupun parti politik agar menghormati proses demokrasi dan peruntukan Perlembagaan apabila hendak turun berdemonstrasi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tidak susah untuk mereka menghormatinya dengan mengemukakan notis sebelum berkumpul berlandaskan Akta Perhimpunan Aman.

“Kita sentiasa menghormati demokrasi dan menghormati peruntukan Perlembagaan berhubung dengan hak rakyat negara ini untuk berdemonstrasi. Kita hormati tetapi pada masa sama Parlimen telah meluluskan satu undang-undang iaitu Akta Perhimpunan Aman.

“Akta ini pada hemat saya adalah undang-undang yang hendak memudahkan kita menguruskan kehendak hak rakyat untuk berdemonstrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Menandatangani Deklarasi Kerjasama Strategik Antara Pasukan Polis Marin (PPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah (1), Pelabuhan Klang hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan; dan Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Menurut Abdul Hamid, peruntukan undang-undang itu menyatakan sekiranya hendak turun di jalanan, mereka dikehendaki memberi notis kepada polis dalam tempoh lima hari.

Tegasnya, tujuan notis itu adalah untuk memudahkan polis mengatur tugasan mengawal keadaan, termasuk lalu lintas agar urusan orang ramai yang tidak berkaitan dengan perhimpunan itu tidak terganggu.

“Tugasan anggota polis ini bukan hendak menghalang mereka berkumpul atau bercakap. Ia supaya jalan raya selamat di kawasan itu dan juga mereka dalam kumpulan itu sentiasa mendapat kawalan polis.

“Kita mesti ingat, sekiranya kita hendak mempromosikan idea atau perjuangan kita sudah pasti ada pihak lain yang tidak suka. Jadi, kehadiran polis di situ adalah untuk memastikan mereka dapat menjalankan hak mereka tanpa halangan mana-mana pihak.

“Jadi, bagilah notis, bukan mohon permit pun, sekadar notis sahaja. Kenapa berat sangat? dulu (perlu beri notis) dua minggu, sekarang lima hari saja,” katanya.

Katanya, beliau tidak tahan mendengar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara menjerit meminta anggota tambahan.

“Kita tidak ada anggota yang cukup. Bayangkan sekiranya anggota polis ini balik dari kerja, contohnya polis trafik yang berkawal 24 jam, bila sampai rumah, kena keluar lagi kerana ada demonstrasi yang tidak minta notis, kelam kabut anak buah saya di bawah. Mereka pun hendak rehat juga.

“Itu tujuan kita minta notis, bukan nak mengekang. Selepas himpunan tersebut, jika mereka melanggar akta, kita menguatkuasakan undang-undang. Kita panggil mereka, jawablah soalan ketika disoal siasat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast