KUALA LUMPUR – Barisan pemimpin Melayu dan Islam yang kini mendominasi kerajaaan perlu menunjukkan kejujuran, amanah serta tidak menjadikan kepentingan kuasa atau peribadi sebagai punca di atas penggabungan ini.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berkata, pemimpin perlu menolak kepentingan peribadi dengan tidak mewujudkan perbalahan sesama sendiri hingga menyebabkan rakyat kecewa sekali lagi.
Katanya, rakyat pernah kecewa dengan UMNO dan menunjukkan kuasa mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) walaupun selepas lebih 60 tahun memerintah.
“Majoriti rakyat hari ini gembira dengan tumbangnya Pakatan Harapan yang didominasi DAP dan mereka mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada kerajaan sebelum ini.
“Namun, isu perebutan kuasa yang heboh diperkatakan dalam laporan media, memberi gambaran kurang senang kepada rakyat tentang kerajaan gabungan baharu ini dan sedikit demi sedikit kepercayaan rakyat terhakis.
“Oleh itu, semua pemimpin baik dari semua kalangan khususnya UMNO perlu bermuhasahbah dengan sejarah sebelum ini bahawa mereka sudah pernah ditolak rakyat dan tidak mustahil akan ditolak kembali jika tidak mengambil pengajaran yang lepas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, Azwanddin mengingatkan bahawa kerajaan baharu ini sedang diperhatikan dari setiap tindak tanduk yang dilakukan oleh pimpinannya.
Ujarnya, rakyat meletakkan harapan yang besar kepada kerajaan baharu untuk membawa satu perubahan dari setiap aspek terutamanya ekonomi, pendidikan dan peluang pekerjaan.
“Jangan sia-siakan peluang dan kepercayaan yang telah diberikan rakyat.
“Ketepikan soal perebutan kuasa dan kembali fokus untuk menjalankan mandat rakyat dengan lebih berintegriti, jujur dan amanah,” tambah beliau. – MalaysiaGazette