Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (kiri) bersama Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som (kanan) sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan (tengah) pada Majlis Menandatangani Deklarasi Kerjasama Strategik PDRM dan APMM di Markas Operasi PPM Wilayah Satu Pelabuhan Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 05 MAC 2020

KLANG – “Saya tunggu dia balik, saya sedia sambutnya dengan tertib.”

Itu gurauan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika ditanya perkembangan  terbaru ahli perniagaan yang menjadi buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Menurutnya, setakat ini tidak ada perkembangan terbaru mengenainya yang terkait dengan siasatan kes 1MDB.

Terdahulu, beliau menegaskan, polis akan meneruskan siasatan bagi kes berprofil tinggi walaupun berlaku perubahan kerajaan.

Kata beliau, tidak ada sebab kes seumpama itu hendak dihentikan atau ditutup kerana ia melibatkan perundangan dengan Jabatan Peguam Negara dan kehakiman.

Oleh itu, katanya, siasatan akan diteruskan seperti biasa dan tidak ada apa-apa perubahan berlaku.

“Proses ke atas kes berprofil tinggi tetap diteruskan seperti biasa termasuk kes yang sedang dibicara di mahkamah.

“Kes ini di bawah proses undang-undang, bukan proses politik. Tidak ada sesiapa pun boleh halang, itu bawah Peguam Negara dan kehakiman,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kes berprofil tinggi yang menjadi tumpuan ialah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak 1MDB dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang menghadapi pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan projek membekal dan memasang tenaga solar di 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak.

Turut berdepan pertuduhan di mahkamah ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Menteri Wilayah, Datuk Tengku Adnan Mansor. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Jho lo adalah saksi utama yg takkan ditangkap semasa KERAjaan PeeH berkuasa… Just think wisely la guys 🙂

Comments are closed.