Abdul Malik Ab. Razak

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak perlu mempersoalkan mengenai integriti kepimpinan Pas kalau dalam era pemerintahannya sebelum ini pun tidak menitikberatkan soal itu.

Setiausaha Akhbar Presiden Pas, Abdul Malik Ab. Razak menegaskan, persoalan dibangkitkan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai pemimpin integriti semalam bagaikan baru sedar dari lamunan mimpi.

“Adakah beliau sedar, banyak kes melibatkan rasuah dalam kalangan pemimpin PH semasa memegang tampuk pemerintahannya digugurkan dan dibebaskan begitu sahaja? Adakah ini neraca keadilan bagi PH?

“Adakah ini suatu integriti palsu yang cuba dilaungkan bagi menyembunyikan perpecahan dalaman parti PH sendiri?

“Kalau rumah berdinding kaca, jangan melontar batu kepada orang lain nanti pecah dinding rumah kamu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Nazmi yang menyifatkan Abdul Hadi sebagai tidak bertanggungjawab apabila mendakwa perbicaraan melibatkan beberapa pemimpin UMNO di mahkamah bukan perkara penting berbanding usaha menyelamatkan negara.

Kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu, skandal pemimpin UMNO merupakan kes berprofil tinggi dan melibatkan kepentingan rakyat serta negara.

Menurut Abdul Malik, Presiden Pas mengemukakan cadangan pembentukan kabinet baharu kepada Muhyiddin supaya individu dilantik menganggotai Jemaah Menteri terdiri dari yang berintegriti, berkelayakan dan berkemahiran serta mewakili masyarakat majmuk.

Bahkan, katanya, Abdul Hadi mengulangi sekali lagi bahawa beliau tegas dalam pertemuan dengan Muhyiddin yang parti itu istiqamah, konsisten dengan pendirian memilih anggota kabinet berintegriti, bersih dan berkepakaran.

“Sudah tentu kriteria itu ada dalam kalangan ahli politik dan ada juga dalam kalangan profesional. Ini yang kita tekankan demi untuk menyelamatkan negara.

“Pada masa sama, Presiden Pas juga menegaskan semua pihak perlu menghormati proses kehakiman, jangan sekali-kali jadikan media sosial sebagai keputusan mahkamah. Itu tidak boleh, biar mahkamah buat keputusan.

“Dengan ini, Perikatan Nasional telah berjaya menyelamatkan negara dari kemelut politik, maka terserahlah kepada mahkamah untuk menentukan keputusannya,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast