DUBAI – Arab Saudi melaksanakan penutupan sementara di timur wilayah Qatif – lokasi 11 orang individu yang positif koronavirus dan menutup semua sekolah serta universiti seluruh negara.

Qatif adalah kawasan pengeluaran minyak, juga mempunyai populasi terbesar penduduk beraliran syiah.

Pihak berkuasa Arab Saudi berkata, mereka yang dijangkiti Covid-19 itu pernah berada di Iran dan Iraq atau kontak dengan individu-individu yang pulang dari negara-negara berkenaan.

Arab Saudi telah pun mengenakan sekatan perjalanan ke Iran yang menyaksikan sebanyak 194 kes kematian akibat koronavirus itu.

Kementerian Dalam Negeri menggantung pergerakan ke dalam dan ke luar Qatif tetapi memberi jaminan penduduk setempat akan kembali ke kediaman masing-masing dan bekalan makanan dan keperluan diteruskan.

Berikutan itu halangan blok simen ditempatkan di laluan utama di jalan-jalan menuju ke Qatif.

“Kerja-kerja di semua institusi awam dan swasta digantung sebagai langkah berjaga-jaga dalam menangani penularan wabak kecuali di kemudahan penting yang menyediakan perkhidmatan keselamatan dan peruntukan yang diperlukan,” kata kenyataan kementerian tersebut.

Semalam, Riyadh mengumumkan langkah berjaga-jaga termasuk menggantung semua aktiviti pendidikan dan Quran di masjid di seluruh negara.

Semua sekolah awam dan swasta serta universiti turut ditutup sehingga dimaklumkan kelak.

Penggantungan sama untuk acara sukan terbesarnya yang dijadual berlangsung pada 23 Mac sehingga diberitahu.

Malah, Kerajaan Arab Saudi mengetatkan laluan trak untuk menyeberangi sempadan dengan Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan Bahrain.

Ketibaan penumpang pula terhad kepada tiga lapangan terbang sahaja. – MalaysiaGazette