Anuar Ahmad

AKHIRNYA Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyidin Yasin membuat keputusan mewujudkan kembali Kementerian Perpaduan Negara. Sekian lama kementerian ini dilenyapkan kerana kepimpinan negara yang terdahulu merasakan tidak perlunya agenda perpaduan negara dinobatkan melalui sebuah kementerian, cukup sekadar sebuah Jabatan sahaja iaitu Jabaran Perpaduan Negara dan Intergrasi nasional (JPNIN).

Akhirnya, pada tahun 2020 ini di bawah kerajaan Perikatan Nasional, barulah agenda perpaduan negara disuburkan semula dengan kewujudan sebuah kementerian Perpaduan Negara.

Mengapa agenda perpaduan penting di negara ini?

Pertama, Malaysia ini adalah sebuah negara yang majmuk sifatnya. Kemajmukkan itu pula sangat pelbagai latarnya. Selain pelbagai kaum, wujud juga pelbagai agama, bahasa, adat resam dan nilai hidup.

Sifat kemajmukan ini juga unik kerana majoriti dan minoritinya yang jelas bersilang. Kaum Melayu-bumiputera mewakili hampir 70 peratus populasi manakala bukan Melayu hampir 30 peratus. Tetapi bukan Melayu yang 30 peratus ini pula ialah kumpulan yang menguasai ekonomi negara sekitar hampir 60%. Silang majoriti-minoriti ini haruslah diuruskan dengan baik oleh pihak pemerintah.

Agenda perpaduan harus dirancang dan diterjemahkan di dalam kehidupan bernegara untuk semua ahli masyarakat. Sebab itu mewujudkan sebuah kementerian Perpaduan Negara adalah langkah yang bijak. Agenda perpaduan di dalam kemajmukan ini mesti dipupuk dan disuburkan pada setiap masa. Dari anak kecil hinggalah orang dewasa.

Kedua, pengetahuan dan pengalaman latar sejarah negara ini harus difahami, diperkukuhkan dan dikongsikan bersama semua rakyat. Malaysia asalnya Tanah Melayu. Kemudian berlaku migrasi di era penjajahan yang sengaja diaturkan oleh pihak penjajah bagi memenangi matlamat ekonomi mereka. Berlaku migrasi kaum Cina dan India ke Tanah Melayu.

Akhirnya sebahagian besar imigran ini mengambil keputusan untuk terus menetap dan menjadikan Tanah melayu sebagai tanahair mereka. Kaum Melayu sebagai penduduk asal tanah Melayu telah bersetuju malah meraikan keputusan para imigran untuk menetap di negara ini. Persefahaman di capai.

Ada persetujuan antara orang Melayu dan bukan Melayu untuk hidup bersama dalam sebuah negara yang berada di ambang kemerdekaan. Maka diwujudkan Perlembagaan Persekutuan yang mengambilkira persetujuan bersama antara Melayu dan bukan Melayu. Kesepakatan dicapai. Orang Melayu mendapat hak-hak mereka dan dilindungi dalam Perlembagaan.

Orang bukan Melayu juga mendapat impian mereka untuk kekal dan menjadi rakyat yang tiada bezanya taraf kerakyatan dengan orang Melayu. Hak mengundi, hak mengumpulkan kekayaan, hak untuk dilindungi oleh undang-undang dan hak untuk hidup dengan aman dan dijamin keselamatan mereka di mana-mana juga bahagian dalam negara ini. Malah hak untuk meneruskan amalan beragama dan berbahasa ibunda juga dijamin di dalam Perlembagaan Negara kepada masyarakat bukan Melayu di bawah Perkara 3 dan Perkara 152.

Oleh itu agenda perpaduan di dalam negara ini sangat tergantung kepada kesepakatan untuk berkongsi pengetahuan sejarah dan latar belakang masyarakat yang majmuk. Perpaduan harus dijadikan agenda pendidikan. Tanpa pengetahuan sejarah yang kuat, perpaduan pasti mudah dicalarkan oleh perosak perpaduan.

Ketiga, perpaduan adalah satu kemahiran hidup. Perpaduan adalah amalan yang mesti dipraktiskan. Bukan sekadar disebut di hujung lidah atau slogan semata-mata.

Oleh itu agenda mengamalkan perpaduan dalam ruang bermasyarakat harus dipergiatkan. Amalan perpaduan di sekolah, kejiranan, tempat kerja, universiti, di pusat perniagaan dan jabatan kerajaan harus dilaksanakan. Ada amalan dalam bentuk nilai murni seharian dan ada juga dalam kempen kesedaran dan membentuk semangat kekitaan. Semua ini memerlukan peruntukan dan tenaga kerja untuk dijayakan. Ini perlunya sebuah kementerian berkaitan perpaduan.

Semoga masyarakat Malaysia sentiasa mengutamakan perpaduan. Semoga kiita sentiasa bersama dalam meraikan kepelbagaian. Kepelbagaian adalah aset negara. Perpaduan adalah impian kita bersama. Jom raikan…

ANUAR AHMAD Pensyarah Sosiologi Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia

 

2 Komen

  1. Hapuskan je sekolah vernacular akan dapat selesaikan 75% masalah perpaduan… Itulah punca perpecahan selama ini… Kaum majority jgn takut utk hapuskan sekolah vernacular kerana semua kaum akan hidup aman damai spt di lain-lain negara…

    Wahai org-org melayu dan bumiputera bersatulah utk hapuskan sekolah vernacular demi negara Malaysia yg tercinta…

    Wahai org-org cina dan india terimalah kenyataan bahawa anda hanyalah pendatang yg di bawa masuk oleh British lahanat tu…

    🙂

  2. perpaduan …… perpaduan apa kalau anti dap. mungkin perpaduan dalam perkauman. lah agaknya. . atau kementerian ini akan menutup anti dap dan cina india dengan baju perpaduan. tak tahu lah berjaya atau pun tidak. umno pernah lakukan ini masa dia berkuasa dahulu. kalau bunuh orang tapi kita tidak membunuh. kalau tipu orang kita tidak menipu.

Comments are closed.