KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengarahkan supaya menggugurkan klausa 11 pada Surat Setuju Terima (SST) kedua untuk Jepak Holdings Sdn Bhd.
Surat tersebut dikeluarkan pada November 2016.
Pengeluaran Klausa 11 daripada SST kedua itu bermaksud memberi hak untuk memberhentikan bahagian kerja atau aktiviti penyelenggaraan dalam kontrak terbabit.
Bekas Setiausaha Bahagian di Bahagian Perolehan dan Pengurusan Aset KPM, Kamarudin Abdullah berkata, Mahdzir mengarahkannya berbuat demikian tanpa memberi sebab yang kukuh.
“Bukan saya yang berani atau pandai-pandai buang klausa 11. Saya diarahkan okeh YB Menteri (ketika itu iaitu Mahdzir Khalid). Itu clear cut (jelas).
“Saya tanya (Mahdzir) kenapa nak buang? Dia kata “tak apa, buang saja dulu”. Jadi saya ambil inisiatif untuk buang Klausa 11 itu,” katanya semasa perbicaraan projek mega tenaga solar di 369 sekolah pedalaman di Sarawak yang mengaitkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Mengulas lanjut Kamarudin menambah, tindakan pengguguran klausa meruapakn bidang kuasa Kementerian Kewangan, bukannya Mahdzir yang pada waktu itu adalah Menteri Pendidikan.
“(Dengan) arahan MOF sahaja barulah yang boleh kita keluarkan,” katanya sewaktu pemeriksaan balas peguam bela Rosmah iaitu Azrul Zulkifli Strok.
Meskipun SST tanpa Klausa 11 masih boleh diperbaiki dalam kontrak di antara Jepak dengan KPM namun, Kamarudin menyifatkan SST tersebut tidak lengkap. – MalaysiaGazette