KUALA LUMPUR – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor boleh memeriksa secara fizikal barang yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa ada kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Rosmah.

Beliau bagaimanapun mengenakan syarat bahawa pemeriksaan itu perlu dilakukan di premis yang ditetapkan dan hanya Rosmah serta seorang peguam dibenarkan berbuat demikian di bawah pengawasan pendakwa raya yang dinamakan sebagai responden.

Mahkamah juga memerintahkan supaya ia dilakukan hanya sekali dalam tempoh 30 hari mulai hari ini dan Rosmah perlu memfailkan afidavit, jika perlu, dalam tempoh dua minggu dari tarikh pemeriksaan.

Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, permohonan itu dibenarkan atas prinsip keadilan hak asasi pemohon untuk menyediakan afidavit berkaitan kes di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) yang dihadapinya.

“Adalah sukar untuk membuat pengecaman hanya daripada gambar. Persoalan mengenai keselamatan, integriti dan praktikaliti bukan isu,” kata beliau.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof berhujah bahawa pihaknya telah menyediakan gambar barang terbabit yang berkualiti, oleh itu, Rosmah tidak perlu melakukan pemeriksaan secara fizikal.

Mahkamah kemudian meminta peguam Iskandar Shah Ibrahim untuk melihat gambar itu namun beliau berkata tindakan tersebut tidak mencukupi dan memerlukan pemeriksaan dari beberapa sudut lain.

“Gambar yang ditunjukkan ini tidak membantu pemohon kerana beliau perlu membuat pengecaman secara fizikal bagi menyediakan afidavit,” katanya.

Sebelum itu, mahkamah sama menangguhkan sehingga 25 Mac ini bagi pendengaran permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk melakukan pemeriksaan secara fizikal ke atas harta yang disita dari premis milik Obyu Holdings bernilai RM680 juta.

Dalam notis usul yang difailkan terhadap Obyu Holdings, kerajaan antara lain menyita sejumlah 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 unit aksesori jam tangan, 234 unit cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Sebahagian besar barangan mewah yang dirampas polis dilaporkan dari pangsapuri milik Obyu Holdings selain sebuah hartanah di daerah Kuala Lumpur yang turut disita pada 1 November 2018.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan lucut hak harta Obyu Holdings mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagaimanapun Najib, Rosmah dan firma barang kemas, Global Royalty selaku pihak ketiga memohon untuk mendapatkan gambar serta membuat pemeriksaan fizikal terhadap harta-harta tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast