PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

PARIT – Seorang wanita berumur 47 tahun bersama anak tiri lelakinya berumur 17 tahun serta empat rakannya ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak Tengah awal pagi ini kerana menjadikan rumah mereka sebagai port untuk menghisap dadah jenis syabu.

Ketua Pegawai AADK Perak Tengah Nur Huwaina Ahmad berkata, dalam serbuan pada 1 pagi itu, kesemua individu berkenaan dipercayai baru lepas menghisap dadah di ruang tamu sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Felcra Changkat Lada, Seberang Perak di sini.

“Wanita berumur 47 tahun itu dipercayai menghisap dadah sejak 15 tahun lalu manakala anak tirinya sejak dua tahun lepas. Kita mengesyaki bapa kandung remaja itu juga penagih namun ketika serbuan bapanya tiada di rumah kerana menangkap ikan.

“Anak tiri wanita terbabit tidak lagi bersekolah sejak tahun lalu dan dua daripada empat rakannya yang ditahan juga telah berhenti sekolah. Kita mengesyaki anak tiri wanita itu yang mendapatkan dadah untuk ibu tirinya daripada rakan-rakan, ” katanya dalam sidang media di Pejabat AADK Perak Tengah di sini, hari ini.

Nur Huwaina berkata, keenam-enam individu itu antara 21 individu berumur antara 16 dan 68 tahun yang ditahan dalam Ops Perdana selama dua hari bermula semalam sehingga 6 pagi tadi di beberapa kawasan di daerah Perak Tengah. – Bernama