Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin, Putrajaya. Gambar fail.

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyarankan khutbah solat Jumaat dipendekkan ketika negara sedang berdepan dengan wabak Covid-19.

Beliau berkata, saranan itu antara lima kertas kerja yang akan dikemukakan kepada Majlis Fatwa untuk dibincang dan mendapatkan solusi mengenai keadaan yang berlaku ketika ini.

Katanya, dalam kertas kerja itu juga, beliau menyarankan agar wuduk diambil di rumah dan pihak masjid akan diminta menyediakan cecair pembasmi kuman.

“Berkenaan solat Jumaat ini, kami ada beberapa saranan terutama dalam situasi sekarang, iaitu kalau boleh khutbah dipendekkan, terus kepada mesej yang hendak disampaikan saja.

“Begitu juga kalau boleh wuduk diambil di rumah dan kemudian pihak masjid menyediakan cecair pencuci tangan iaitu pembasmi kuman,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Tausiyah AM agensi agama di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Marzuki Shaari.

Terdahulu, Dr. Zulkifli mengimamkan solat sunat dhuha dan solat sunat hajat bersama kakitangan jabatan dan agensi bawah kementeriannya.

Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu, selain solat Jumaat, turut disarankan berbincang dengan Majlis Fatwa mengenai nikah kahwin dan pengurusan mayat iaitu garis panduan sekiranya melibatkan kes Covid-19.

Beliau juga menasihati orang ramai, terutama umat Islam kalau boleh mengelakkan daripada menghadiri sebarang bentuk perhimpunan.

“Bagi yang hendak menunaikan solat Jumaat, sebolehnya jangan berhimpun di kawasan yang dikenal pasti ada wabak,” katanya.

Ditanya mengenai langkah diambil kementeriannya, Dr. Zulkifli berkata, beliau telah berbincang dengan Kementerian Kesihatan mengenai hal itu dan menasihatkan orang ramai agar mengelakkan daripada melancong ke negara yang ada kes Covid-19.

“Kami ada bincang panjang lebar. Kita melihat kepada keperluan semasa. Tetapi sebolehnya cuba mengelakkannya,” katanya. – MalaysiaGazette