Stadium Anfield bukan lagi venue yang akan digeruni lawan apabila Atletico berjaya menjinakkan Liverpool di stadium tersebut.

LONDON – Impian besar Liverpool selaku juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah untuk menukar defisit kepada kemenangan di Anfield berkecai awal pagi tadi.

Atletico Madrid yang berbekalkan semangat kelebihan 1-0 pada aksi pertama minggu lalu, berjaya memberi pengajaran kepada keangkuhan the Kops yang memandang enteng keupayaan lawan.

Skuad kendalian Jurgen Klopp menabik dada dan bermimpi besar kononnya pasukan pujaan mereka akan mengulangi magis menewaskan Barcelona dengan 4-0 di Anfield terhadap Atletico malam tadi.

Bagaimanapun, Atletico mempamerkan aksi luar biasa, berjaya mengajar tuan rumah yang beraksi dengan keyakinan tinggi mampu melangkah ke suku akhir.

Bagaimanapun impian mereka terkubur apabila Atletico bangkit daripada ketinggalan 01 di Anfield sebelum mengejutkan tuan rumah dengan tiga gol dan melangkah ke suku akhir dengan agregat 2-4.

Liverpool membuka jaringan pada minit ke-43 separuh masa pertama menerusi Georginio Wijnaldum.

Kekebalan pasukan pelawat di bek pertahanan menyukarkan the Kops untuk menembus gawang dan menjaringkan gol sebelum perlawanan 90 minit berakhir dengan keputusan 1-0 dan agregat seri 1-1.

Perlawanan dibawa ke masa tambahan sebelum Liverpool menggandakan gol menerusi Firmino pada minit ke-94, sekali gus menjangkakan akan menang.

Bagaimanapun impian mereka mula berkecai apabila Atletico bangkit daripada ketinggalan 2-0 dengan membuka gol menerusi Llorente pada minit ke 97.

Gol itu dari segi agregat mengikat keputusan semasa 2-2, lantas  mencemaskan Liverpool.

Namun tuan rumah gagal menyekat aksi agresif apabila Llorente sekali lagi bangkit menambah gol kedua pada minit ke-105 sebelum Morata menjaringkan gol ketiga pada minit ke-120, membolehkan Atletico melangkah ke suku akhir dengan agregat 4-2.

Impian Klopp untuk bergelar juara Eropah untuk kali ketujuh musim ini terkubur akibat kesilapan penjaga gol Adrian pada saat akhir yang dibawa masuk menggantikan Alisson yang cedera semasa perlawanan.

Tindakan itu telah meruntuhkan moral dan semangat juang pasukan.

Aksi luar biasa penjaga gol Atletico, Jan Oblak yang menepis sembilan percubaan tepat juga antara faktor yang menjadi pemusnah harapan penyokong Liverpool.

Atletico turun ke stadium Anfield dengan peringatan berjaga-jaga mengambil kira nasib pasukan elit pada musim lalu yang tewas kepada Liverpool ekoran persekitaran dan aura luar biasa stadium itu.

Bagaimanapun, gertakan persekitaran dan aura stadium itu gagal menundukkan Atletico Madrid.

Walaupun sentuhan skuad La Liga itu tidak berapa menarik, namun kebijaksanaan skuad tersebut berjaya memberi satu lagi kesan positif untuk jurulatihnya Diego Simeone.

Kali terakhir Liverpool tersungkur dalam kedua-dua perlawanan di peringkat pusingan kalah mati adalah kepada Benfica pada musim 2005/2006

Apakah selepas ini Anfield akan digeruni lagi ketika berdepan Liverpool, rasanya tidak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast