PUTRAJAYA – Masih terlalu awal untuk kerajaan membuat keputusan sama ada ibadat haji boleh ditunaikan atau tidak ketika seluruh dunia, termasuk Arab Saudi berdepan dengan serangan wabak Covid-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang keputusan lagi mengenainya, sebaliknya tertakluk kepada keadaan pada ketika itu.
“Perkara ini kita akan lihat waktu hampir sama (dahulu). Maksud saya ketika mana hampir waktu haji, sekarang kita ada lebih kurang dalam empat bulan lagi…
“Jadi waktu itu mungkin kita doa pada Allah supaya wabak seperti ini sudah berlalu pergi,” katanya kepada pemberita selepas majlis tahnik ke atas lebih 40 bayi di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin di sini, hari ini.
Ditanya sekiranya ibadat haji terpaksa ditangguhkan juga kalau Covid-19 masih berlarutan, beliau dengan ringkas menjawab: “Seboleh-bolehnya tak payah sekiranya… kita tunggu dulu.”
Awal bulan ini, kerajaan Arab Saudi menutup semua pintu masuk ke negara itu termasuk bagi umat Islam yang hendak melakukan ibadah umrah.
Tindakan itu diambil berikutan kerajaan berkenaan mengesan wujud kes Covid-19 di negaranya dan terus mengambil langkah keselamatan dengan tidak membenarkan jemaah umrah masuk ke negara itu. – MalaysiaGazette