Zakaria
Zakaria Arshad

SEMASA agensi-agensi kerajaan ditubuhkan, organisasi tersebut diberikan beberapa mandat yang jelas supaya bergerak dalam kerangka yang telah ditetapkan,  mempunyai struktur pentadbiran yang teratur, diberikan bantuan dan dana yang mencukupi serta mendapat pemimpin dan kakitangan yang berdedikasi.

Sebahagian besar badan-badan kerajaan ini ditubuhkan untuk menjamin kebajikan bumiputera khususnya bangsa Melayu terutama daripada sudut ekonomi seperti kewangan, perniagaan, pemasaran, pelaburan, pertanian, pelajaran dan sebagainya.
Sekadar menyebut beberapa contoh;

FELDA

FELDA  ditubuhkan untuk melaksanakan penempatan semula penduduk luar bandar yang miskin ke kawasan-kawasan yang baru dibangunkan dengan tanaman getah dan kelapa sawit agar meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka.

Tabung Haji

Tabung Haji berperanan untuk meguruskan perjalanan jemaah haji dari Malaysia ke Mekah pada setiap tahun. Agensi ini ditubuhkan sebagai institusi kewangan yang dapat memastikan perjalanan operasi haji berjalan lancar, efisyen dan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Ia juga menjadi tempat simpanan yang dijamin selamat oleh Kerajaan sebagai tempat menabung untuk tambang dan perbelanjaan mengerjakan haji ke tanah suci Mekah.

RISDA

RISDA (Rubber Industry Smallholder’s Development Authority) ditubuhkan dengan tujuan untuk membolehkan pekebun kecil yang mempunyai kebun getah tua dan tidak ekonomik menanam semula dengan klon-klon baru yang boleh memberikan hasil dan pulangan yang lebih baik.

Agensi ini juga bertindak untuk menyediakan input pertanian seperti baja, racun dan latihan bagi mempastikan industri getah negara kekal relevan.

FELCRA

Objektif utama penubuhan FELCRA  adalah bertujuan untuk mengurangkan masalah kemiskinan serta jurang pendapatan antara masyarakat desa dan bandar.

Dalam konteks ini, FELCRA berperanan untuk mewujudkan skim pembangunan tanah-tanah pertanian di kawasan luar bandar, memberi latihan dan kemahiran kepada masyarakat desa di dalam memajukan tanah-tanah pertanian serta memperkenalkan sistem pemberian saham kepada peserta mengikut keluasan tanah mereka.

Ia juga berperanan untuk membangunkan tanah-tanah pekebun-pekebun kecil yang terbiar dengan melaksanakan amalan agronomi yang betul dan memasarkan hasil keluaran dengan harga yang baik.

TEKUN

Bagi membangun dan mengujudkan usahawan bumiputera untuk memulakan perniagaan, memperolehi modal permulaan dan operasi pada kadar faedah yang rendah, beberapa agensi telah ditubuhkan seperti TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) sebuah agensi yang diletakkan di bawah kawalan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Selain itu, agensi ini juga memberi bantuan dan panduan untuk usahawan Bumiputera mendapatkan kontrak dan peluang perniagaan di institusi-institusi kerajaan dan GLC.

MARA

MARA (Majlis Amanah Rakyat) sebuah agensi dibawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah terhasil selepas Kongress Ekonomi Bumiputera 1965, mempunyai misi untuk menerajui bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan untuk penguasaan ekuiti Bumiputera dan pembangunan sosio-ekonomi.

Penubuhan Maktab Rendah Sains MARA adalah bertujuan untuk membimbing anak-anak bumiputera yang cerdik untuk mendapat keputusan akademik yang baik untuk ditempatkan ke universiti luar negara dan universiti ternama tempatan.

Universiti Institut Teknologi MARA adalah tempat untuk pelajar Bumiputera menimba pelajaran di peringkat pengajian tinggi dengan kualiti pembelajaran terkini. Agensi ini juga merupakan tempat untuk mendapatkan modal dan tempat untuk berniaga bagi pengusaha Melayu.

Tindakan Majlis MARA baru-baru ini untuk memberi fokus kepada pendidikan sahaja amat berbahaya, dan membelakangkan tujuan asal MARA untuk membina ekonomi Bumiputera.

PUNB

Manakala PUNB ((Perbadanan Usahawan Nasional Berhad) merupakan milik penuh Yayasan Pelaburan Bumiputera yang merupakan sebuah badan penyelaras bagi aktiviti pelaburan untuk agensi kerajaan, syarikat dan individu Bumiputera dengan fokus untuk membangunkan usahawan Bumiputera dalam perniagaan strategik dan berpotensi tinggi selaras dengan dasar pembangunan negara.

Agensi ini diperuntukkan dengan dana yang tinggi supaya mereka dapat melaksanakan misi yang dipertanggungjawabkan.

UDA

UDA (Urban Development Authority) ditubuhkan bagi melancarkan dan menyelia projek-projek pembangunan bandar yang berkaitan dengan sektor perniagaan, industri dan perumahan khususnya untuk kepentingan dan kebajikan bumiputera di kawasan bandar. Ia juga ditugaskan untuk membangunkan prasarana, ruang pejabat dan ruang untuk perniagaan di kawasan bandar dengan memberi keutamaan kepada bumiputra.

Walau bagaimanapun,sejak kebelakangan ini skandal demi skandal telah terbongkar yang membabitkan sebahagian dari agensi agensi bumiputera itu.

Yang amat mendukacitakan, kerugian yang dialami itu berpunca dari perniagaan-perniagaan atau aktiviti-aktiviti baru yang mereka ceburi. Perniagaan dan aktiviti baru itu bukanlah matlamat asal atau aktiviti teras penubuhan mereka.

Kita ambil beberapa contoh; FELDA membeli beberapa beberapa buah hotel dan apartmen di London. Sejauh mana FELDA boleh membantu kebajikan peneroka dengan pelaburan yang bernilai ratusan juta ringgit di London itu. FELDA juga menceburkan diri dalam aktiviti kejuruteraan, perladangan di Indonesia dan pernah melabur dalam pengilangan minyak conola di Canada.

Sejauh mana pula MARA boleh meningkatkan penguasaan ekuiti Bumiputera atau membantu usahawan serta pendidikan Bumiputera dengan pembelian MARA House di London dan beberapa  hartanah di Australia? Dan sejauh mana MARA dapat menghasilkan keuntungan di dalam industri pengangkutan, teknologi aeroangkasa, perniagaan IT dan telekomunikasi nya?

Tabung Haji (TH) membeli puluhan ribu hektar ladang kelapa sawit di Indonesia. Ladang-ladang itu ditanam di atas tanah gambut yang jelas melanggar syarat-syarat RSPO (Roundtable on Sustainability Palm Oil).

Adakah pembelian ini selaras dengan misi penubuhan mereka atau memelihara nama baik organisasi ini di peringkat antarabangsa? Adakah TH mempunyai kepakaran apabila menceburkan diri dalam pengeluaran dan pengedaran produk-produk makanan halal dalam misi menjadi pemain utama industri makanan dunia.

Walaupun matlamat utama RISDA adalah membangunkan penanaman getah, tetapi agensi ini memilih untuk menanam kelapa sawit di kebanyakan ladang mereka. Agensi ini juga menceburkan diri dalam pengeluaran kraftangan, jahitan pakaian, ternakan dan sebagainya.

FELCRA pula mencebur diri sebagai pemaju perumahan dan membina bangunan pejabat pencakar langit. Agensi ini juga membuka pusat servis dan alat ganti kereta serta menceburkan diri di dalam kejuruteraan, pembinaan dan pengeluaran makanan.
Berapa ramaikah usahawan Bumiputera bertaraf jutawan dapat dilahirkan dari inisiatif TEKUN, PUNB dan MARA?

Sejauh manakah UDA dapat menempatkan usahawan Bumiputera ditempat-tempat strategik di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dan sejauh manakah bimbingan dapat dihulur kepada peniaga-peniaga Bumiputera bagi menghadapi cabaran sengit dari peniaga bukan bumiputra yang sudah  mahir dan maju dalam selok belok perniagaan?

Fungsi agensi-agensi itu hendaklah diperbetulkan kerana banyak yang sudah lari dari matlamat asal penubuhan mereka. Banyak agensi kerajaan yang menceburkan diri dalam perniagaan kecil yang akhirnya menjadi pesaing kepada usahawan-usahawan kecil. Agensi-agensi ini juga mengalami kerugian kerana mereka tidak mempunyai pengalaman dan budaya peniaga.

Ada aktiviti-aktiviti yang diceburi oleh agensi-agensi ini bertindih antara satu sama lain.

Sudah sampai masanya untuk Kerajaan membuat bedah siasat  dan audit forensik ke atas semua agensi-agensi yang ditubuhkan untuk menjaga kepentingan bangsa Melayu ini.

Datuk Zakaria Arshad
Lembaga Pengarah
Koperasi Permodalan Felda
Bekas CEO FGV

1 Komen

Comments are closed.