KUALA LUMPUR – Hampir ratusan rakyat Malaysia yang melancong ke Tamil Nadu dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Thiruchirapalli sejak beberapa hari lalu.

Video itu dikongsikan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Rais Hussin melalui ciapan twitternya.

Justeru beliau meminta kerajaan khususnya Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencari langkah untuk membawa mereka semua pulang.

Pelancong yang terkandas itu, katanya, termasuk wanita mengandung.

Berdasarkan video berdurasi dua minit 14 saat itu, kesemua pelancong tersebut terpaksa berkumpul di pintu masuk lapangan terbang tanpa tempat penginapan sementara..

Menerusi rakaman itu, mereka meluahkan masalah kepada salah seorang anggota polis yang bertugas di lapangan terbang.

Mereka mendakwa penerbangan mereka pada 13 dan 14 Mac lalu dibatalkan menyebabkan mereka yang sudah mendaftar keluar hotel terpaksa duduk di tepi jalan tanpa wang tambahan untuk balik ke Malaysia.

Salah seorang pemuda warga Malaysia mendesak anggota polis itu melakukan sesuatu menerusi pihak berkuasa Tamil Nadu untuk menghantar mereka pulang ke Malaysia.

Memandangkan Malaysia sudah mula menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan bermula 12 tengah malam tadi hingga 31 Mac ini, pelancong-pelancong yang terkandas itu bimbang tidak boleh memasuki negara.

Dalam rakaman itu, polis berkenaan memaklumkan akan cuna mencari jalan penyelesaian untuk pelancong-pelancong tersebut.

Namun salah seorang pemuda India dari Malaysia itu meminta bantuan tempat penginapan sementara masalah diselesaikan kerana tiada seorang pun di antara mereka mempunyai wang.

Katanya, mereka berada di lapangan terbang itu lebih 12 jam dan masih menyimpan tiket asal pesawat yang telah dibatalkan penerbangannya.

Mereka turut mendakwa tiada hotel penginapan di Tamil Nadu yang membenarkan kumpulan terkandas itu menginap dan menyebabkan mereka hilang arah, apatah lagi mereka mendakwa tidak mempunyai saudara atau kenalan di sana untuk membantu mereka pulang ke Malaysia.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. APASAL lah rakyat Msia Indian ini pergi melancong takde cukup DUIT pula… kalau tak cukup duit, jangan lah pergi melancong luar negara.. pergi saja ke Port Dickson ke… dalam negara pun ada banyak tempat menarik !!

  2. Dakwaan tak ada duit macam meragukan tetapi sebagai warga negara yang terkandas, kerajaan sewajarnya membantu membawa mereka pulang.

Comments are closed.