Anggota polis memberi nasihat kepada sebahagian pelanggan pada Ops Covid-19 sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Pasaraya Mydin Selayang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Walaupun dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang mula dikuatkuasakan sejak dua hari lalu telah meminta semua premis perniagaan termasuk kilang ditutup selama dua minggu namun masih lagi degil.

Malah di kala negara dilanda dengan wabak pandemik yang juga telah meragut dua nyawa itu, ada juga dilihat pasar raya besar masih beroperasi seperti biasa.

Dalam pasar raya itu menjual barangan bukan asas termasuk produk elektrik, pakaian, kasut, aksesori, buku, cenderamata dan banyak lagi.

Bahagian barangan bukan keperluan asas dibuka seperti biasa yang sepatutnya dihentikan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Ops Covid-19 berikutan penularan wabak Covid-19 di Pasaraya Mydin Selayang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2020.

Alasan yang diberikan oleh pasar raya ini yang mereka telah mendapat kebenaran ‘sepenuhnya’ daripada pihak berkuasa untuk beroperasi yang kemudian mengundang rasa tidak senang dalam kalangan rakyat mahupun pemilik premis lain.

MalaysiaGazette sempat mengikuti operasi Covid-19 bersama sepasukan polis ke Mydin Mall cawangan Selayang dan Selayang Mall hari ini dapat melihat sendiri bagaimana barangan-barangan bukan am di jual secara terbuka.

Malah apa yang lebih membimbangkan, rata-rata pekerja juga tidak dibekalkan sebarang kit keselamatan seperti penutup muka atau cecair pembasmi kuman.

Ketika ditanya, mereka berkata, majikan memberi alasan ketiadaan stok.

Sekumpulan anggota polis yang tiba di Mydin Mall Selayang tiga tingkat itu kemudian mengarahkan penutupan premis dua tingkat itu.

Seorang pelanggan membeli barangan elektrik dimana penjualan barangan tersebut sepatutnya dihentikan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Ops Covid-19 berikutan penularan wabak Covid-19 di Pasaraya Mydin Selayang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2020.

Dalam pada itu, rata-rata pekerja juga kelihatan tidak berapa faham tentang kepentingan mereka memakai penutup muka atau penggunaan cecair pembasmi kuman.

Ada juga dalam kalangan mereka hanya menunggu arahan daripada majikan seandainya ada penutupan kaunter tertentu atau diminta pulang berikutan wabak Covid-19 ini.

MalaysiaGazette juga mendapati polis terpaksa memberikan nasihat kepada mereka supaya memakai penutup muka memandangkan ramai yang bekerja di kaunter bayaran juga ramai tiada penutup muka.

 

Sementara operasi polis di Selayang Mall pula, hampir rata-rata kedai yang tidak berkaitan dengan barangan am telah ditutup sejak dua hari lepas.

Menurut Pengurus Keselamatan Selayang Mall, Fikri Zaidi Zamri, pengurusan telah memberikan nasihat selepas penetapan Perintah Kawalan Pergerakan kepada penyewa lain dalam bangunan itu.

Pengurus Keselamatan Selayang Mall, Zikri Zaidi Zamri pada Ops Covid-19 sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Selayang Mall, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2020.

“Seandainya ada penguatkuasaan, kita telah nasihat dan beri amaran bahawa itu bukanlah tanggungjawab kami. Yang buka ketika ini hanyalah kedai makanan ‘bungkus balik’ serta farmasi juga pasar raya.

“Sejak tutup kedai-kedai lain juga, pelanggan tidak datang lagi, selalunya ramai tapi hari ini kamu lihat sendiri, tidak ada kelibat orang langsung,” ujarnya. –MalaysiaGazette