KUALA LUMPUR – Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Rabu lepas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan lebih fokus serta mengutamakan operasi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

Pada masa sama, Panglima Angkatan Tentara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang memberi peringatan serta nasihat kepada semua warga ATM supaya tidak sesekali lalai dalam mematuhi arahan semasa yang dikeluarkan.

Tegas beliau, sebagai benteng yang menjaga pertahanan negara, aspek kedaulatan negara tetap didahulukan dalam apa juga situasi,

“Semua operasi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara tetap dilaksanakan agar negara kekal terperlihara manakala aktiviti yang melibatkan latihan akan ditangguhkan.

“Namun pada masa sama, sikap ambil peduli tentang saranan pencegahan Covid-19 perlu dipatuhi bagi tujuan perlindungan diri, keluarga dan masyarakat. Itu penting.

“Fahami apa itu social distancing, jangan buat pembelian panik, kenali simptom penyakit ini, jika dijangkiti mahupun mengjangkiti orang lain,” katanya dalam satu perutusan khas hari ini.

Affendi juga senada dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya arahan dipatuhi agar dapat mencegah penularan wabak Covid-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat.

Perintah kawalan itu dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Hari ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan kerajaan akan menggerakkan ATM bermula Ahad ini dalam usaha mengurangkan pergerakan rakyat, namun ia bukanlah satu perintah darurat.

Kata Ismail, kerajaan yakin dengan bantuan tentera, tahap pematuhan rakyat terhadap perintah kawalan pergerakan akan lebih tinggi. – MalaysiaGazette