Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer

MELAKA – Keadaan longkang dan culvert yang tersumbat dengan daun, ranting dan tanah dikesan menjadi punca kejadian banjir kilat di Lebuh Sungai Udang – Paya Rumput- Ayer Keroh (SPA) di sini pagi tadi.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, hakisan tanah berlaku susulan kerja-kerja pembinaan pam minyak yang dijalankan di kawasan persimpangan Gangsa.

“Selain itu, adalah kerana kerja-kerja pipe jacking oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sehingga tanah masuk ke dalam longkang dan culvert menyebabkannya tersumbat.

“Manakala di Kawasan Industri Krubong, banjir berpunca daripada daun-daun kering dan ranting-ranting pokok yang menyekat aliran air,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazatte di sini malam ini.

Anggota bomba membantu mengalihkan sebuah kenderaan yang terperangkap dalam banjir kilat di Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (SPA) berhampiran Kampung Gangsa pagi tadi. – Gambar Ihsan JBPM Melaka

Terdahulu hari ini, empat kawasan melibatkan 62 buah rumah terjejas apabila dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan kira-kira hampir dua jam bermula 5 pagi tadi.

Kawasan yang terjejas adalah tiga kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu iaitu Kampung Pengkalan Batu, Kampung Bachang Darat dan Kampung Peringgit melibatkan keseluruhan 62 buah rumah.

Bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara dibuka.

Antara beberapa laluan utama yang telibat adalah di Batu Berendam dan Lebuh SPA berhampiran Kampung Gangsa yang menyaksikan ada kenderaan ditenggelami banjir, namun pemandunya sempat keluar menyelamatkan diri.

Mengulas lanjut, Hameed Mytheen berkata, kejadian banjir di Laluan 143, Kampung Pulau Kelapa berhampiran Hospital Melaka pula disebabkan paras air Sungai Melaka yang meningkat.

“Kesemua kawasan terjejas sentiasa dipantau dari semasa ke semasa oleh Jabatan Kerja Raya daerah dan Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd bagi memastikan keselamatan kenderaan.

“Jalan-jalan yang ditutup bagaimanapun telah dibuka semula untuk laluan semua kenderaan,” katanya. – MalaysiaGazette