Masjid ismail Petra, Tanah Merah kosong tanpa kunjungan orang ramai untuk beribadat.

KOTA BHARU – Semua masjid di Kelantan hari ini ditutup daripada solat Jumaat berikutan penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa 18 Mac lalu.

Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa daerah melibatkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Kuala Krai mendapati kebanyakan masjid lengang dari kunjungan jemaah.

Ada beberapa masjid turut menampal notis penutupan untuk memaklumkan kepada umat Islam bahawa semua aktiviti keagamaan ditangguhkan sementara waktu.

Notis penutupan sementara masjid ditampal di pintu pagar utama bagi memaklumkan kepada orang ramai tiada aktiviti keagamaan untuk sementara waktu ini.

Antara aktiviti keagamaan yang terlibat dengan penangguhan itu ialah solat fardu secara berjemaah, solat Jumaat, kuliah, ceramah agama, halaqah al-Quran, kelas Qiraati dan kelas Tahfiz.

Penutupan masjid sementara waktu itu adalah bertujuan bagi membendung penularan virus Covid-19 yang semakin menular di negara ini.

Masjid Ismail Petra, Tanah Merah yang sebelum ini penuh dengan kariah tempatan dan musafir, kini kosong dengan pagar utamanya ditutup daripada dikunjungi orang ramai.

Majlis terletak kira-kira 300 meter dari bandar Tanah Merah itu yang boleh memuatkan kira-kira 2,000 jemaah bagi satu-satu masa, hanya beroperasi untuk azan sahaja.

Manakala solat lima waktu secara berjemaah tidak dibenarkan sama sekali dan orang ramai terutama penduduk tempatan akur dengan arahan itu.

Di Pasir Mas juga, keadaan masjid di Kampung Kubang Panjang kosong tengah hari ini.

Masjid di Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas juga turut kosong dan sunyi dari kunjungan orang ramai.

Orang ramai masing-masing menunaikan solat Zohor di rumah dan akur dengan perintah kerajaan supaya tidak mengunjungi masjid atau berkumpul di rumah ibadat.

Ini adalah Jumaat pertama bagi seluruh masjid di Kelantan tidak beroperasi untuk solat Jumaat.

Walaupun agak kekok, tetapi mereka terpaksa menerima hakikat bahawa penularan wabak Covid-19 lebih merbahaya dan boleh meragut nyawa sekiranya tidak berhati-hati.

Selain masjid, jalan raya di beberapa bandar ini juga lengang, sekali gus membuktikan rakyat Kelantan patuh pada arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang meminta orang ramai tinggal di rumah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast