Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis dan tentera akan ditempatkan di beberapa kawasan berisiko dan masih gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), antaranya pasar pagi dan pasaraya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yakcop berkata, selain polis dan tentera, penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga akan dikerahkan untuk membantu.

Ini kerana sepanjang lima hari PKP diaktifkan kawasan pasar dan pasaraya masih sesak dikunjungi pelanggan pada satu-satu masa sehingga sukar mengamalkan penjarakan sosial satu meter seperti diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Menurut polis kadar pematuhan PKP sudah meningkat ke paras 90 peratus tetapi ini masih belum mencukupi kerana baki 10 peratus itu adalah jumlah yang besar.

“Rakyat kita ada 32 juta orang maka 10 peratus yang masih belum mematuhi perintah tersebut terdiri daripada kira-kira tiga juta orang, masih ramai jumlahnya,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Tambah Ismail Sabri, selain pasar dan pasaraya, kawalan akan diketatkan di kawasan-kawasan seperti hospital, kawasan yang tetap dilihat sesak meskipun PKP telah diaktifkan sejak lima hari lalu, sempadan dan kawasan berisiko tinggi.

Sekatan jalan raya, rondaan dan hebahan akan tetap diteruskan.

Selain polis, tentera dan penguatkuasa PBT, kerajaan juga meminta bantuan anggota RELA dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk turut sama memastikan arahan PKP dipatuhi.

Katanya, secara keseluruhan kira-kira 50,000 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam memastikan orang ramai mematuhi PKP di seluruh negara.

Malah Majlis Keselamatan Negera (MKN) turut meminta Pusat Pengurusan Bencana di setiap daerah digerakkan supaya pematuhan PKP dapat dilaksanakan.- MalaysiaGazette