Badan Peguam Malaysia akan terus menyuarakan kebimbangannya terhadap penggunaan secara berterusan undang-undang yang menindas, kata presidennya George Varughese.

KUALA LUMPUR – Majlis Peguam Malaysia menggesa agensi kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pejabat-pejabat tanah untuk lebih prihatin dengan masalah dihadapi peguam semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya Salim Bashir juga merayu bagi keadilan dalam mengendalikan mana-mana permohonan atau permintaan untuk pelanjutan masa, ketika peguam berusaha untuk memenuhi kewajipan perundangan dan pentadbiran mereka bagi pihak firma dan anak guam mereka.

“Majlis Peguam yakin keadaan akan beransur-ansur kembali pulih seperti biasa dan bersedia membantu ahli Badan Peguam Malaysia, berhubung perkara-perkara dalam bidang kuasanya,” katanya dalam kenyataan hari ini,

Semasa dihubungi, Salim menjelaskan permohonan dan permintaan untuk pelanjutan masa adalah berkaitan dengan perkara membabitkan cukai dan hartanah.

Katanya, Majlis Peguam Malaysia sedar ada kalangan firma guaman berasa tertekan untuk buka pejabat berikutan permintaan dan arahan dibuat sesetengah bank dan institusi kewangan, yang dibenarkan beroperasi ketika PKP dikuatkuasakan.

Sehubungan itu, Salim berkata, Majlis Peguam Malaysia telah mengeluarkan kenyataan pada 18 Mac lepas, bagi meminta kerjasama daripada bank dan institusi kewangan yang berbuat demikian.

Beliau turut menggesa semua ahli Majlis Peguam Malaysia untuk melaksanakan kebijaksanaan dan budi bicara sepanjang tempoh PKP.

Salim berkata, bagi peguam yang kerja mereka tidak terletak di bawah definisi perkhidmatan penting dalam Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, ini bermakna peguam berkenaan perlu duduk di rumah atau bekerja dari rumah.

“Dalam waktu sukar ini, kami faham ahli kami yang bimbang dengan banyak perkara disebabkan oleh impak larangan dikenakan PKP terhadap firma guaman mereka, kes mahkamah, anak guam, kerja pejabat dan kewajipan berkaitan kerja yang lain,” katanya.

Salim berkata, Majlis Peguam Malaysia menerusi pekeliling dikeluarkan kepada ahlinya bertarikh 18 Mac, 2020, menasihatkan ahlinya untuk tidak buka firma guaman pada ketika ini yang selaras dengan arahan kerajaan, berhubung penutupan perkhidmatan tidak penting.

Oleh itu, beliau menggesa firma guaman untuk mematuhi nasihat dalam PKP bagi melindungi kesihatan peguam dan pekerja mereka, dan tidak berisiko melanggar undang-undang dengan memaksa mereka untuk hadir secara fizikal di pejabat. – MalaysiaGazette