Datuk Mohd Imran Tamrin
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin.

KUALA LUMPUR – Tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang menyekat pemberian peruntukan khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pembangkang bagi menangani Covid-19 disifatkan sebagai langkah terkebelakang.

ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin menegaskan, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sepatutnya mencontohi Kerajaan Persekutuan yang menyalurkan bantuan sama kepada semua negeri tanpa mengira perbezaan politik.

“Tindakan dan layanan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada ADUN-ADUN bukan kerajaan adalah satu langkah yang terkebelakang.

“Pendekatan yang diambil oleh Perdana Menteri yang mengumumkan bantuan untuk mangsa-mangsa wabak Covid-19 kepada semua negeri di Malaysia ini bernilai RM170 juta.

“Langkah ini tidak mengira sama ada negeri itu adalah negeri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) ataupun Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada MalaysiaGazette, malam ini.

Beliau mengulas surat rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang bertarikh 23 Mac 2020 berhubung penyaluran peruntukan pembangunan Program Mesra Rakyat bagi ADUN ke Pusat Khidmat Masyarakat berjumlah RM30,000.

Menurut surat pekeliling yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan), Dr Nor Fuad Abdul Hamid, setelah perbincangan dengan Menteri Besar dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 22 Mac lalu memutuskan peruntukan itu hanya diberikan kepada ADUN Kerajaan sahaja.

Surat itu turut menyatakan peruntukan RM30,000 itu disalurkan terus ke akaun Pusat Khidmat Masyarakat semua ADUN Selangor kecuali sembilan wakil pembangkang.

Antara sembilan ADUN pembangkang yang dikecualikan daripada menerima peruntukan itu ialah Rizam Ismail (Sungai Air Tawar), Datuk Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang), Datuk Rosni Sohar (Hulu Bernam) dan Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong)
Turut disekat peruntukan itu ialah Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bukit Antarabangsa), Zakaria Hanafi (Semenyih), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) dan Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang).

Katanya, ketika negara berusaha membendung wabak Covid-19, ADUN-ADUN pembangkang di negeri itu bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor dalam menyalurkan peruntukan di kawasan masing-masing yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

“Kami sebenarnya ADUN-ADUN bukan kerajaan ini sedia pada bila-bila masa untuk bekerjasama dalam pengagihan ataupun apa juga insentif kepada rakyat.

“Apabila dilakukan sebegini nampaknya kerajaan negeri Selangor sememangnya dilihat keterbelakang dan ianya adalah satu politik yang tidak matang dan tidak bagus dalam hasrat kita untuk sama-sama membantu masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Cuba tanya muhyidin siapa yg mula sekat peruntukan yg ditimbulkan oleh syed saddiq.
    Itupun tanpa apa2 alasan.

    Cuba pula tanya pada diri sendiri.
    Bila suara rakyat di ambil pada yg bukan hak nya.

    Betullah kata pepatah
    Bangkai kuman diseberang lautan tampak.
    Bangkai gajah depan mata dibutakan.

    Apapun ingat 18 mei 2020
    #asalbukanmuhyidin

Comments are closed.