CUKUP banyak yang boleh dipelajari dari apa yang sedang melanda dunia hari ini termasuklah Covid-19.
1. Kemegahan membina atau memiliki rumah ibadah bernilai jutaan malahan ratusan juta ringgit tidak membawa banyak makna jika ia hanya menjadi sebuah simbol.
Pastinya Allah bagi orang Islam mahukan hambaNya kembali kepada kehidupan beragama sebenar iaitu menjauhi maksiat, rasuah, riba dan segala kemungkaran.
Ingatlah, dengan virus kecil bernama Covid-19 yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, dunia telah menjadi huru hara.
Pastinya wajar buat kementerian berkaitan hal ehwal agama menjadikan dan mengambil perkara ini dengan lebih serius iaitu membawa kembali umat kepada kehidupan beragama sebagai sebahagian daripada agenda utama kementerian dan agensi.
Mekanisame, strategi dan protokol yang komprehensif perlu dibangunkan dalam usaha membangunkan umat yang patuh agama dan berakhlak mulia.
2. Kepentingan meletakkan orang yang betul ditempat yang betul adalah amat mendesak. Keperluan ini menjadi amat kritikal ketika krisis melanda.
Di waktu tiada krisis, tidak banyak yang perlu dibimbangkan tetapi di kala krisis, pemimpin mahupun ketua yang lemah, tidak akan dapat menghadirkan jalan penyelesaian terbaik yang amat diperlukan.
Sewajarnya kerajaan perlu memiliki mekanisme, strategi dan protokol yang komprehensif dalam memilih pemimpin terbaik untuk mengetuai agensi atau institusi penting.
Dalam konteks Malaysia, kejayaan negara menangani krisis ini akan menjadi kayu ukur utama kepada kemampuan mereka yang memimpin.
Pastinya wajar buat kementerian berkaitan sumber manusia, pelajaran, dan pendidikan tinggi menjadikan agenda melahirkan sumber manusia yang berprestasi tinggi sebagai sebahagian dari agenda utama kementerian mereka.
3. Pada amnya semangat tolong-menolong sesama rakyat Malaysia masih di tahap sederhana atau mungkin rendah.
Ketika mereka dibarisan hadapan iaitu pasukan perubatan dan keselamatan bergelut dalam usaha membendung wabak, ramai rakyat Malaysia yang berkemampuan membantu memilih untuk berdiam diri.
Kenyataan ini tidak bertujuan menuduh sesiapa tetapi sewajarnya mereka yang berkemampuan dari segi kewangan dan peralatan menghulurkan bantuan dengan segera.
Pada hakikatnya sehingga hari ini, sumbangan yang diterima terlalu kecil berbanding kekayaan atau kemampuan yang dimiliki oleh sesetengah rakyat atau syarikat yang kaya-raya hasil perniagaan mereka di negara ini.
Mereka tidak atau lewat menyumbang mungkin juga disebabkan tiadanya mekanisme, strategi dan protokol yang jelas untuk menyalurkannya.
Untuk itu, pastinya wajar buat kementerian berkaitan perpaduan nasional, pelajaran, pendidikan tinggi dan lain-lain kementerian mengangkat perkara ini dan menjadikannya sebagai sebahagian daripada agenda utama kementerian mereka dalam usaha membangunkan masyarakat Malaysia yang lebih bersatu padu.
4. Lemahnya kesedaran rakyat terhadap mematuhi arahan contohnya perintah pergerakan terhad amat wajar diberi perhatian serius.
Ketika mana Perdana Menteri mengumumkan perintah pergerakan terhad, ratusan ribu jika tidak jutaan rakyat memulakan pergerakan mereka contohnya meninggalkan Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung atau pergi bercuti.
Tindakan mereka adalah mesej jelas akan kegagalan mereka memahami arahan dan kegagalan negara memperincikan dan bertindak tegas terhadap arahan yang diberi.
Sewajarnya di masa hadapan, kerajaan atau agensi berkaitan perlu ada mekanisme, strategi dan protokol untuk melaksanakan sesuatu perintah.
Penerangan demi penerangan di media massa utama dan sosial perlu dilaksanakan dengan sistematik dan komprehensif terlebih dahulu sebelum perintah dibuat dan sebaik dibuat perlu dikuatkuasakan dengan tegas.
Pastinya perlu buat kementerian berkaitan keselamatan, komunikasi, pelajaran dan pendidikan tinggi dan agensi berkaitan menjadikan perkara ini sebagai sebahagian daripada agenda utama mereka dalam memastikan rakyat lebih faham, terdidik dan bersedia di masa hadapan.
5. Kurangnya komunikasi tentang langkah mengekang impak negatif dari sesuatu bencana, krisis atau tragedi dari sudut ekonomi kepada rakyat dan negara perlu diperbaiki.
Pastinya ramai rakyat khususnya golongan pekerja dan usahawan mahupun industri terkesan teruk apabila wabak seperti COVID19 melanda. Lebih lama krisis ini melanda, lebih parah kesannya.
Untuk itu kerajaan menerusi kementerian kewangan, ekonomi, industri dan yang berkaitan perlu mempunyai mekasime, strategi dan protokol yang jelas, cekap dan komprehensif tentang apakah bentuk bantuan yang akan dan bila ia disalurkan kepada rakyat, usahawan dan industri.
Dengan kata lain, sewajarnya semua kementerian atau agensi mempunyai mekanisme, strategi dan protokol yang jelas dalam semua perkara penting iaitu berkaitan dengan kesihatan, keselamatan dan ekonomi rakyat dan negara.
Bersama kita membina Malaysia yang lebih berdaya tahan dan maju. Ayuh Malaysia, kita mampu melakukannya.