Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Semua ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur bawah 55 tahun kini boleh mengeluarkan simpanan Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan pengeluaran i-Lestari itu dalam sidang media khas di sini bagi membantu meringankan beban rakyat yang kehilangan sumber pendapatan berikutan wabak COVID-19.

Beliau berkata,  insiatif yang bermula 1 April ini dijangka memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP dengan jumlah pengeluaran dianggarkan bernilai RM40 billion.

Ini adalah tambahan kepada pengurangan caruman pekerja kepada tujuh peratus seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Nasihat saya kepada anda semua yang akan menerima manfaat ini, gunalah wang ini sebaik mungkin.

“Beli barang- barang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini.

“Yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga.

“Mungkin juga wang ini sebahagiannya boleh digunakan untuk menampung bayaran bil air atau bil elektrik atau sewa rumah mengikut keperluan masing-masing.

“Walaupun jumlahnya mungkin tak seberapa, tetapi inilah wang hasil titik peluh anda sendiri yang sepatutnya digunakan untuk hari tua, tetapi kerajaan benarkan wang ini digunakan pada masa ini memandangkan ada dalam kalangan saudara-saudari yang memerlukan.

“InsyaAllah, jika wang ini digunakan secara berhemah akan ada keberkatannya untuk saudara dan saudari seisi keluarga,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di sini hari ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.