KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari ke-6 masih lagi memerlukan perhatian pihak berkuasa seperti polis, tentera dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ini kerana masih terdapat orang awam yang masih degil untuk mematuhi perintah itu dengan keluar rumah walaupun tiada keperluan untuk berbuat demikian.
Ada juga segelintir pemilik premis kedai dan gerai yang masih dibuka untuk menerima pelanggan tanpa mempedulikan arahan masa yang telah dikeluarkan pihak berkuasa.
Wartawan MalaysiaGazette yang berkesempatan mengikut pasukan penguatkuasa DBKL melakukan operasi pada hari ini terkejut melihat kedegilan mereka ketika penularan Covid-19 agak membimbangkan.

Biarpun Yang DiPertuan Agong dan Perdana Menteri merayu kepada penduduk negara ini mengurangkan pergerakan dan hanya keluar jika terdapat keperluan, namun tidak semua patuh.
Ada dalam kalangan masyarakat sempat berjoging, mengambil angin malah berjalan-jalan mencari makanan pada malam ini.
Kebanyakan mereka juga tidak mementingkan keselamatan diri mahupun orang sekeliling apabila tidak memakai penutup muka.

Orang ramai serta pekedai yang ditemui memberikan pelbagai alasan termasuk tidak tahu tentang perintah tersebut dan pekedai pula dilihat bergegas menutup kedai sebelum diserbu DBKL.
Sebuah kedai runcit didapati mengambil kesempatan membuka ‘gerai makanan mini’ bagi membolehkan pelanggannya makan di dalam premis itu.
Malah terdapat pelanggan gerai makan yang lari lintang pukang apabila premis itu diserbu.

Kedai dobi yang sepatutnya ditutup sepanjang tempoh PKP masih lagi beroperasi di sekitar Jalan Klang Lama manakala bengkel yang mana pemiliknya mungkinn warga asing juga masih buka walaupun waktu sudah mencecah 8.30 malam.
Kebanyakan mereka hanya berlagak ‘bodoh’ apabila ditegur sambil memberikan pelbagai jenis alasan, seolah-olah langsung tidak rasa bersalah mahupun mengambil kisah dengan penularan Covid-19 di negara ini.

Kumpulan ini dilihat cuba mengambil kesempatan ketika orang ramai membantu kerajaan membentung penularan virus baharu itu dengan berada di rumah sedangkan segentir masyarakat bebas keluar dan membuka kedai sesuka hati dengan tanggapan tindakan tidak akan dikenakan.
Bagaimanapun, pegawai penguatkuasa tidak memberi muka kepada mereka, sebaliknya mengarahkan mereka pulang ke rumah masing-masing tanpa menerima sebarang alasan.

Semua premis perniagaan diarah ditutup serta merta dengan notis amaran ditampal di kedai-kedai terbabir selain peringatan diberikan buat kali pertama dan terakhir.
Operasi yang dinamakan ‘Ops Covid-19’ oleh DBKL akan dijalankan 24 jam setiap hari sehingga tamatnya PKP pada 31 Mac ini dengan beratus-ratus anggota DBKL dikerah ke seluruh pelusuk ibu negara bagi tujuan itu. – MalaysiaGazette
