KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) juga memahami lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak memberi tekanan kepada warga penjawat awam yang perlu bertugas seperti sektor kesihatan dan keselamatan serta petugas penguatkuasaan.
Terdapat penjawat awam yang suami isteri terpaksa bertugas tetapi perlu menguruskan anak-anak yang masih kecil.
“Dalam hal ini CUEPACS mencadangkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh mengambil alih atau membantu memudahkan pengurusan anak-anak Penjawat Awam yang kedua-duanya terpaksa bertugas,” kata presidennya, Adnan Mat.
CUEPACS menurutnya memohon agar ketua jabatan khususnya di KKM melihat semula bagi staf suami isteri yang bekerja sepanjang Covid-19 dan perlu juga ada penggiliran kerja agar mereka boleh menjaga anak atau pihak majikan boleh berbincang dengan pihak JKM mengambilaih menjaga pengurusan anak-anak staf KKM terutama yang dua-dua bekerja.
“CUEPACS juga mendapat aduan pekerja mengenai arahan buka klinik harian sehingga 12 tengah malam yang kami lihat sangat tidak praktikal khususnya di Sabah. Justeru itu cukuplah waktu operasi klinik harian sehingga jam 9.30 malam sahaja kerana waktu ini sangat paraktikal dan tidak membebankan pekerja,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Adnan, CUEPACS juga menyambut baik keprihatinan kerajaan dalam langkah menangguhkan bayaran balik pinjaman bank sehingga enam bulan kepada peminjam-peminjam individu dan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana).
Ia sedikit sebanyak memberi ruang kelegaan kepada rakyat untuk menghadapi saat-saat genting ketika ini.
Bagaimanapun CUEPACS berharap dan mencadangkan agar penangguhan bayaran pinjaman ini juga diluaskan kepada peminjam-peminjam pembiayaan perumahan di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) iaitu dalam kalangan warga penjawat awam.
“Harus diingatkan tidak semua penjawat awam di negara ini mempunyai pasangan yang sama-sama bekerja. Ada dalam kalangan mereka merupakan suri rumah, peniaga kecil atau bekerja di sektor swasta. Situasi semasa yang melanda negara ketika ini telah mengganggu rutin kerja dan menjejaskan pendapatan pasangan penjawat awam.
“Sebahagian daripada merekai juga tergolong dalam golongan B40 yang perlu diberi perhatian. Dengan penangguhan bayaran pinjaman LPPSA yang merangkumi hampir daripada separuh gaji, penjawat awam mempunyai lebihan pendapatan yang boleh digunakan sewaktu kecemasan ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
CUEPACS juga berharap semua jenis potongan bulanan seperti kuarters perumahan atau pinjaman Penjawat Awam bagi agensi atau majikan (pinjaman dalaman) juga perlulah ditangguhkan sebagaimana pelaksanaan di bank-bank.
Pada masa sama CUEPACS juga merayu kepada kerajaan agar memberi pertimbangan khas kepada penjawat awam yang pendapatan seisi rumah dibawah RM5,000 dengan terlaksananya PKP ini telah menyebabkan jumlah pendapatan seisi rumah terjejas khususnya kumpulan pelaksana yang rata-rata ada pekerjaan sampingan seperti berniaga tepi jalan, warung, gerai makan, kedai jahitan atau pembantu kedai untuk diberi bantuan sebagai mana bantuan peniaga kecil yang terjejas.- MalaysiaGazette