KUALA LUMPUR – Persatuan Pengilang-Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysian (Margma) akan terus berbincang dengan kerajaan bagi membolehkannya beroperasi dengan kapasiti penuh untuk memenuhi keperluan semasa terutama ketika dunia sedang mengekang Covid-19.
Presiden Margma, Denis Low meramalkan berlaku kekurangan kronik sarung tangan perubatan akan berlaku ketika 196 buah negara di seluruh dunia sedang bergelut dengan virus tersebut.
Menurutnya, Malaysia menggunakan 120 juta keping sarung tangan setahun dan Margma telah memberi jaminan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan berlaku kekurangan bekalan.
Sedangkan, katanya, permintaan untuk alat perlindungan itu di seluruh dunia adalah mencabar, di tambah pula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang hanya membenarkan pengilang-pengilang beroperasi dengan 50% tenaga kerja.
”Ini bermakna, hanya separuh daripada kuantiti normal sarung tangan boleh dihasilkan dan ia boleh mengakibatkan kekurangan kronik kepada dunia memandangkan Malaysia adalah pengeluar terbesar sarung tangan perubatan global.
”Kami pula bertanggungjawab memastikan bekalan mencukupi di hospital-hospital dan kepada pemberi khidmat penjagaan kesihatan dalam menangani virus,” katanya di sini.
Margma menjangkakan menghasilkan 225 bilion keping sarung tahun ini, yang mana ia mewakili kira-kira 65 peratus daripada 330 bilion keping keperluan dunia.
Denis berkata, buat masa ini persatuan itu telah menasihatkan pembeli antarabangsa bahawa mereka perlu menumpukan bekalan kepada hanya hospital dan kakitangan kesihatan sahaja.
Ini kerana, barisan hadapan kesihatan adalah individu yang paling penting dalam usaha mengekang Covid-19.
Menurutnya, Margma sedang menyusun anggota-anggotanya untuk memenuhi kapasiti optimum dengan arahan yang ketat untuk mematuhi amalan pengilangan yang baik.
Memandangkan permintaan begitu mendesak, sudah tentu pihaknya perlu membayar kerja lebih masa dan pekerja diberi pampasan dan elaun sewajarnya.
Dalam keadaan semasa pengeluaran akan dibatasi dengan dasar 50%, oleh itu semua, kos pengeluaran akan meningkat dengan ketara antara 25 hingga 30%, mengambil kira kesan kekurangan bekalan rantaian di seluruh dunia
rantaian bekalan.
Namun, katanya, mujur pembeli menyedari faktor ini dan membantu serta bekerjasama untuk menanggung kos ini. -MalaysiaGazette