KUALA LUMPUR – Dalam keadaan sukar menghadapi wabak pandemik, Covid-19, perhatian khusus serta fokus rakyat Malaysia terus diberikan kepada  ‘frontliner’ (barisan hadapan).

Kumpulan barusan hadapan ini termasuk pasukan perubatan, polis, tentera mahupun pekerja am terus bergelut ketika rakyat diperintahkan untuk tidak keluar rumah bermula 18 Mac sehingga 14 April ini.

Malik Streams Corporation Sdn. Bhd. melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Malik Dasthigeer yang sentiasa tampil melakukan kebajikan serta amal jariah tampil menyumbang kepada hampir 450 warga Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Abdul Malik memberitahu MalaysiaGazette bahawa beliau tidak gemar bercakap tentang sumbangan tersebut, sebaliknya hanya berharap musibah Covid-19 berakhir secepat mungkin.

“Ini sememangnya sesuatu yang kita tidak dijangkakan sebelum ini, agak menakutkan serta membimbangkan sama sekali untuk melihat peningkatan angka ketika ini. Saya sebenarnya sangat bimbang, risau tentang wabak ini.

“Apatah lagi bila ianya sehingga meragut rakyat kita juga seluruh dunia. Semoga ujian ini akan berakhir dengan cepat sekali. Itu sebenarnya yang hendak saya cakap, tentang sumbangan pula, sememangnya Malik Streams sentiasa ke hadapan kepada golongan memerlukan.

“Ketika ini saya diberitahu warga HKL bekerja siang malam tanpa henti, ada tiga shif dan sekurang-kurangnya dalam 450 orang bertugas, tidak kira doktor, jururawat malah pekerja am ketika ini dalam menangani wabak Covid-19 ini.

“Oleh yang demikian, kita menyumbang makanan dan minuman ringan seperti biskut, minuman seperti Twister oren, epal dan lain-lain. Kita sumbang dalam kuantiti banyak supaya tidak kehabisan.

“Kita akan hantar lagi jika perlu, ramai yang beri makanan lain-lain, kita sumbang yang ini. Sama-sama kita jaga, ramai sebenarnya tampil membantu, Malik Streams juga sangat komited.

“Bagi kami sumbangan ini tidak sebesar mana jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan yang sedang dilakukan oleh para frontliner ini,” katanya.

Pengarah Urusan Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Dasthigeer.

Sebelum ini, Malik Streams sentiasa mengadakan pelbagai program dan aktiviti amal yang melibatkan anak-anak yatim, warga emas dan ibu tunggal.

Aktiviti amal ini biasanya diadakan pada bulan perayaan yang bertujuan mengurangkan beban golongan yang tidak berkemampuan.

Antara program CSR syarikat tersebut ialah bantuan kewangan, makanan dan barangan keperluan kepada anak yatim, ibu tunggal, orang kurang upaya, warga emas serta menaja umat Islam ke tanah suci untuk menunaikan umrah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast