Reaksi ceria pengacara kontroversi, Azwan Ali atau lebih dikenali Diva AA berjalan keluar selepas mengaku bersalah atas kesalahan menghina petugas KKM di Hospital Putrajaya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini mengarahkan selebriti kontroversi, Azwan Ali membayar denda RM17,000 selepas didapati bersalah menghina petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertugas di Hospital Putrajaya sebagai barisan hadapan memerangi Covid-19.

Azwan atau lebih dikenali Diva AA mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau juga dalam masa yang sama membuat permohonan maaf khas kepada semua petugas Hospital Putrajaya terutama pengarah doktor dan jururawat atas ketelanjurannya memuat naik video yang tular baru-baru ini.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman berbentuk denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau keduanya jika sabit kesalahan.

Walaubagaimanapun Azwan membuat permohonan kepada hakim agar jumlah denda dikurangkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Radzi Shah Abd Razak berkata, tindakan Azwan boleh mencetuskan ketidakharmonian sementelah negara berhadapan dengan wabak Covid-19 dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru tindakan selebriti kontroversi itu perlu dijadikan pengajaran untuk semua masyarakat demi sama-sama membendung pandemik itu.

“Negara sekarang berada dalam keadaan serius sepatutnya kita menghargai semua pihak, jadi jika kita tidak boleh buat apa mereka buat sekurang-kurangnya kita mudahkan urusan mereka.

“Dalam keadaan sekarang pula PKP yang dikuatkuasakan oleh kerajaan ia berlaku dalam keadaan ini ia merupakan perlanggaran yang serius sekiranya ia berulang ia akan memberikan impak yang negatif,” ujarnya kepada pemberita di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur,

Azwan pada Selasa lalu, memuat naik video menerusi Youtube, mengkritik dan mempertikaikan perkhidmatan Hospital Putrajaya.

Kemudian pihak hospital membuat laporan polis pada Selasa lalu kerana menyifatkan tindakan selebriti itu  menjejaskan imej hospital tersebut dan kredibiliti petugas serta pegawai perubatan dalam mengendalikan Covid-19.

Dalam kenyataan, Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr Nora’i Mohd Said menjelaskan terdapat, video pertama dipercayai milik seorang selebriti yang mempunyai impak tontonan tinggi.

Video kedua pula adalah dari saluran YouTube, milik seorang lagi selebriti yang memperkatakan dan menyokong isu dibicarakan oleh pemilik selebriti pertama.

Bagaimanapun Azwan semalam juga telah membuat permohonan maaf menerusi rakaman video. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiba di mahkamah, pengacara Azwan Ali dibawa pula ke balai polis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.