Pengacara kontroversi, Azwan Ali atau lebih dikenali Diva AA hadir bagi menghadapi pertuduhan berhubung penularan dua video yang menjejaskan imej Hospital Putrajaya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Pengacara kontroversi Azwan Ali yang lebih dikenali sebagai Diva AA hari ini muncul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta dipercayai berkaitan  laporan polis yang dibuat oleh Hospital Putrajaya ke atas beliau dan seorang lagi selebriti.

Azwan yang tiba bersama dua pembantunya bagaimanapun terpaksa menunggu seketika sebelum dibenarkan masuk ke mahkamah.

Ketika ditemui, Azwan berkata, beliau diarahkan datang ke mahkamah tanpa mengetahui apa pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Beliau juga sebelum ini tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung laporan polis Hospital Putrajaya.

Beliau kemudian dibenarkan masuk, dan beberapa minit selepas itu kelihatan pengacara itu masuk ke dalam sebuah kereta dan dibawa keluar dari perkarangan mahkamah dipercayai untuk dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan.

Pengacara kontroversi, Azwan Ali atau lebih dikenali Diva AA hadir bagi menghadapi pertuduhan berhubung penularan dua video yang menjejaskan imej Hospital Putrajaya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MAC 2020.

Kelmarin Hospital Putrajaya membuat laporan polis berhubung penularan dua video yang telah menjejaskan imej Hospital Putrajaya dan kredibiliti kakitangan serta para pegawai perubatan dalam mengendalikan COVID-19.

Artikel berkaitan: Hospital Putrajaya buat laporan polis video artis jejas imej petugas kesihatan

Pengarah Hospital Putrajaya Datuk Dr Nora’i Mohd Said berkata video pertama dipercayai milik seorang selebriti yang mempunyai impak tontonan tinggi.

Dr Nora’i berkata isu berkenaan telah diperbesar-besarkan dengan perkataan-perkataan kesat terhadap petugas kesihatan yang menjalankan tugas.

“Pengurusan Hospital Putrajaya memandang serius akan perkara ini dan turut kesal dengan penularan video tersebut,” katanya.

Azwan semalam memohon maaf di atas apa yang telah berlaku.

Artikel berkaitan: Harap Hospital Putrajaya terbuka terima permohonan maaf ini – Azwan

MalaysiaGazette masih menunggu Azwan selesai diambil keterangan untuk berita lanjut. – MalaysiaGazette